Nahas 5 maut: 'Rehatlah abangku'

Iklan
Allahyarham Mohd Nur Afiji - Foto: TikTok @bb.yy03

JOHOR BAHRU –"Rehatlah abangku, kami amat terpukul dengan pemergianmu, namun kami bersyukur kerana engkau pergi di bulan yang mulia dan pada hari Jumaat.”

Demikian luahan adik kepada pramugara AirAsia, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, yang terlibat dalam nahas melibatkan empat kenderaan hingga meragut lima nyawa di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira jam 11.30 malam, Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

Menerusi hantaran video di aplikasi TikTok milik adiknya, @bb.yy03, dia berkongsi momen-momen Allahyarham ketika bertugas dan disertakan kapsyen yang menggambarkan keperibadian arwah.

Menurut adiknya, Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Bobot adalah seorang anak yang baik hati dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian serta cita-citanya.

Iklan

"Dia sanggup melakukan apa sahaja kerja sambilan untuk mencari rezeki kerana impian utamanya adalah menjadi kru kabin. Dia pernah ditawarkan kerja sebagai pegawai sumber manusia tetapi memilih untuk tidak menerima gaji selama tiga bulan.

"Dia sanggup mengambil semula peperiksaan SPM dan membayar tuisyen kerana hanya memiliki sijil vokasional. Setahun dia belajar, masuk kelas penerbangan yang menelan belanja ribuan ringgit, walaupun gagal dalam temuduga berkali-kali, dia tidak pernah berputus asa,” katanya.

Iklan

Dalam hantaran itu juga, adiknya memaklumkan bahawa arwah terpaksa berehat daripada menghadiri temuduga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, selepas pandemik berlalu, Allahyarham bangkit semula dan terus mencuba sehingga akhirnya berjaya menempah tempat sebagai kru kabin.

"Saat itu, dia menangis teresak-esak dan sujud syukur. Dia tidak pernah berputus asa. Dia sangat kuat dan baik hati. Dia pernah berkata mahu membelikan kereta untuk ibu dan bapa. Dia juga selalu bertanya sama ada kami masih mempunyai wang atau tidak dan kerap membeli tiket untuk kami walaupun kami tidak memintanya,” tambahnya.

Adiknya turut berkongsi bahawa beberapa hari sebelum pemergiannya, Allahyarham sempat memberikan wang kepada keluarga, membawa adiknya berjalan-jalan ke Melaka, serta membeli ubat untuknya walaupun baru sahaja pulang dari penerbangan.

"Dia bertanya bila saya akan pulang ke Johor Bahru. Saya beritahu mungkin 27 atau 28 Mac, walaupun saya masih bercuti. Entah kenapa, hati saya begitu kuat mahu pulang pada tarikh itu. Tapi dia kata 25 hingga 31 Mac tiada tiket percuma. Kini, dia sudah tiada. Biasanya, dialah yang akan menghantar saya pulang dari lapangan terbang ke R&F..."

"Dia pergi untuk selamanya pada 28 Mac. Sudah seminggu berlalu, tetapi rasa seperti baru semalam. Saya berharap saat pulang dari Melaka tempoh hari, saya dapat memeluknya lebih lama,” luahnya lagi.