BUKIT MERTAJAM – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong mengecam tindakan segelintir penyokong pihak pembangkang yang menyerang anak angkatnya dengan kata-kata kesat serta tohmahan melampau.
Menerusi satu kenyataan di platform X, Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya melampaui batas kesopanan.
"Pembangkang nak maki hamun kat saya takpa, saya maafkan. Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya!
"Mereka orang susah, dah ditimpa musibah, berpolitik biar berpada-pada!" tulisnya.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang pengawal keselamatan yang menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, baru-baru ini mendakwa mengalami tekanan emosi selepas keluarganya dikecam secara terbuka oleh seorang pengguna TikTok.
Rusli Ahmad, 59, berkata, dia tidak menyangka tindakan anaknya, Ruslina Hanani, menerima sumbangan RM100 daripada wakil rakyat tersebut menimbulkan pertikaian pengguna TikTok hingga sanggup melemparkan kata-kata kesat kepada keluarganya.
Menurutnya, video yang dimuat naik oleh individu tidak dikenali itu mengundang pelbagai kecaman dan kritikan penyokong kumpulan tertentu hingga mengakibatkan dia dan anaknya mengalami tekanan mental.
"Anak saya mengalami kemalangan beberapa hari sebelum Aidilfitri baru-baru ini dan berikutan kejadian itu, YB Permatang Pauh datang melawat serta menghulurkan sumbangan wang tunai RM100 kepadanya.
"Berikutan video lawatan YB itu, ada yang mengecam tindakan Hanani menerima sumbangan tersebut dan mempertikaikan mengapa dia tidak dibantu oleh ayah angkatnya, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, selain dihina dengan pelbagai kata-kata yang menyakitkan hati," katanya.