'Bayar RM5,410 tapi makanan majlis akikah tak cukup, kambing golek kurus'

Iklan
Kambing golek yang didakwa disediakan oleh pihak katering.

SUNGAI PETANI - Majlis akikah yang dirancang sebuah keluarga di sini pada Rabu tidak kesampaian apabila penganjur mendakwa ditipu pemilik katering.

Menerusi hantaran media sosial menggunakan nama Aiman Arif mendakwa, keluarganya telah menerima panggilan pihak katering jam 3 pagi memaklumkan bahawa lembu akikah yang ditempah terlebih dahulu telah dijual kepada pihak lain.

Iklan
Iklan

Menurut hantaran itu, pihak katering mendakwa menjadi mangsa penipuan mengakibatkan tiada bekalan lembu dengan menyertakan laporan polis dipercayai palsu bagi menguatkan kenyataannya.

"Pihak katering berjanji tetap akan masak lauk guna daging 'fresh' dari 'market' supaya kenduri boleh berjalan. Kami pun bagi peluang sebab jemputan dah ramai, takkan nak batalkan 'last minute'.

Iklan

"Tapi niat asal kami nak buat majlis akikah terus berubah jadi majlis biasa je, sebab lembu akikah dah tak ada," katanya menerusi hantaran berkenaan.

Lauk yang didakwa disediakan pihak katering tidak mencukupi.

Dakwa mangsa, keluarganya masih tidak berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan kerana lauk gulai rebung dilihat cair, kambing golek disediakan agak kurus dan tidak mencukupi biarpun untuk 50 orang tetamu dan air minuman juga tawar.

Iklan

"Janji makanan sampai 10 hingga 11 pagi, tapi 12 tengah hari baru tiba, padahal tetamu dah penuh.

"Aku bayar RM5,410, tapi modal dia tak sampai RM1,500. Dia janji ada daging kurma dan rendang, sehingga habis majlis pun tak muncul.

"Kami bagi dia peluang balik masak baki lauk tetapi disebabkan orang dah ramai, kami proceed Plan B, masak sendiri," dakwanya.

Nasi yang didakwa disediakan oleh pihak katering.

Selepas itu, katanya, pihak katering berjanji akan datang semula bawa baki lauk, namun hanya sampai pada jam 3 petang dengan memaklumkan hanya untuk ambil barang miliknya semula.

Hantaran berkenaan bagaimanapun telah tular di media sosial Facebook dengan perkongsian lebih 2,100 dan menerima sebanyak 533 komen.

Berdasarkan komen pengguna media sosial, pemilik katering terbabit didakwa telah terbabit pelbagai kes penipuan membabitkan penganjuran majlis sekitar daerah ini.

Ia dikuatkan menerusi komen beberapa pengguna media sosial yang mengakui pernah tertipu dengan katering sama sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Wan Azharudin Wan Ismail berkata, setakat ini, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mangsa berhubung penipuan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, siasatan akan terus dilakukan sekiranya terdapat laporan mengenai kejadian terbabit yang dikatakan menyebabkan kerugian mencecah melebihi ribuan ringgit.