'Kami memang tak sambut raya tahun ini'

Iklan
Nur Alini menunjukkan gambar Allahyarham bersalam dengan Rohani pada Aidilfitri tahun lalu

SEREMBAN - Aidilfitri tahun ini tidak lagi sama bagi Rohani Abd Ghani, 46, apabila terpaksa menyambutnya tanpa kehadiran anak bongsu yang meninggal dunia dalam kemalangan pada 7 Mac lalu.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8.30 malam itu, Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut bersama dua lagi rakannya selepas motosikal yang mereka tunggang dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang dikatakan melanggar lampu isyarat merah di Jalan Persiaran Senawang 1.

Iklan
Iklan

Menurut Rohani, sehingga kini dia masih sukar menerima kehilangan Allahyarham, lebih-lebih lagi apabila kejadian itu berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya lain.

"Emosi saya memang tidak stabil, sukar tidur kerana terlalu merinduinya.

Iklan

"Saya masih tidak dapat menerima apa yang berlaku. Baju terakhir yang dipakai arwah sebelum kejadian itu menjadi penawar rindu saya.

"Setiap hari saya akan memeluk dan menciumnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, dia bukan menolak takdir, namun sebagai seorang ibu, hatinya sukar menerima pemergian anak yang berlaku secara tiba-tiba.

Lebih memilukan, Allahyarham pernah meminta untuk dibelikan baju raya, namun hajat itu tidak sempat ditunaikan.

"Kalau diingat kembali, sebelum kejadian itu, dia ada memberitahu yang dia mahu beraya di rumah sahaja bersama saya.

"Memang tahun ini kami tidak menyambut Aidilfitri kerana dia sudah tiada,” katanya sebak.

Rohani menggambarkan Allahyarham sebagai seorang anak yang ceria.

Kebiasaannya, setiap pagi raya, anak bongsunya itu akan memeluk dan menciumnya sebelum bersalaman untuk meminta maaf.

Bagaimanapun, suasana itu tidak lagi dapat dirasai dan video kenangan Aidilfitri tahun lalu menjadi pengubat rindu.

"Setiap kali pagi raya, sebaik sahaja arwah bangun tidur, dia akan datang memeluk dan mencium saya sebelum meminta maaf."Tahun lalu, kami menyambut Aidilfitri di Kelantan di rumah anak sulung saya. Suasana sangat meriah kerana kami sekeluarga sedondon mengenakan pakaian warna hijau. Tetapi, semua itu kini hanya tinggal kenangan," ujarnya.

Sementara itu, disebabkan keadaan emosi Rohani yang masih belum stabil, anak ketiganya, Nur Alini Lotpi, 19, terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja.

Menurut Nur Alini, dia tidak sanggup meninggalkan ibunya bersendirian kerana sejak kehilangan Allahyarham, ibunya sering dibelenggu kesedihan dan termenung.

"Saya risau untuk tinggalkan emak seorang diri kerana emosinya masih belum stabil.

"Sekarang ini, emak lebih banyak termenung dan kurang selera makan,” katanya.