KUANTAN – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke Hospital Tunku Ampuan Afzan (HTAA) di sini pada Khamis.
TUDM melalui kenyataan di Facebooknya menjelaskan, pesakit, Rahim Shadan, 58, yang mengalami pneumonia dan paru-paru berair memerlukan bantuan oksigen tinggi akibat penyakit dihadapinya dan perlu dipindahkan ke hospital dengan segera.
Menurutnya, penerbangan ihsan itu menggunakan pesawat EC 725AP daripada No 10 Skuadron, Pangkalan Udara (PU) Kuantan.
"Penerbangan diketuai Mejar Mohamad Horas Matupang Kardi dibantu Kapten Muhammad Suzaini Saleh telah diatur gerak jam 10.55 pagi.
"Pesawat yang turut membawa dua pegawai perubatan HTAA tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman jam 11.26 pagi.
"Pesawat berlepas semula ke PU Kuantan bersama pesakit dan tiba jam 12.38 tengah hari sebelum pesakit dibawa ke HTAA menggunakan ambulans," ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, walaupun berdepan cuaca buruk semasa melaksanakan misi tersebut, anak kapal No 10 Skuadron berjaya menyempurnakannya dengan selamat.
" Kejayaan itu membuktikan pegawai dan anggota serta aset TUDM sentiasa dalam siap siaga sepanjang masa bagi melaksanakan sebarang operasi yang diamanahkan walaupun sebilangan rakyat Malaysia yang lain masih lagi meraikan hari raya," katanya.