Polis siasat dakwaan langgar lari nahas tragis Terowong Menora

Iklan
Hantaran yang tular di media sosial sejak Rabu (kiri) dan jenazah Nur Fatihah bersama anaknya, Naira Falisha serta bayi dalam kandungan telah selamat dikebumikan pada Isnin.

IPOH - Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan mangsa kemalangan tragis dekat Terowong Menora di sini Ahad lalu menjadi mangsa langgar lari.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan pemilik kenderaan terlibat.

Iklan
Iklan

"Ya, kita sedang lengkapkan siasatan kes itu," kata ketika dihubungi pada Khamis.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial, ahli keluarga mangsa meminta bantuan orang ramai bagi mengesan pemilik kenderaan yang terlibat kemalangan mengorbankan seorang wanita hamil dan anak perempuannya berusia dua tahun.

Iklan

Dalam perkongsian itu, individu dipercayai adik mangsa memaklumkan, berlaku unsur langgar lari dalam nahas terbabit membabitkan beberapa kenderaan.

Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka mendakwa beberapa kenderaan meneruskan perjalanan dan tidak berhenti memberikan bantuan selepas menggilis mangsa yang tercampak di tengah laluan jalan.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka, kenderaan tersebut meneruskan perjalanan dan tidak berhenti memberikan bantuan selepas menggilis mangsa yang tercampak di tengah laluan jalan.

Iklan

"Kalau tak sengaja sekali pun, sekurang-kurangnya berhentilah tepi atau bantu. Ini jalan terus dan lari, betul-betul tiada perasaan sebagai seorang manusia.

"Minta tolong bantuan pihak lebuh raya dan orang awam untuk mendapatkan maklumat dua ke tiga kenderaan dan pemilik kenderaan langgar lari tersebut.

"Terima kasih diucapkan kepada polis yang kini sedang berusaha memburu suspek (langgar lari)," kongsi hantaran tersebut.

Dalam kejadian sekitar jam 6.45 petang itu, Naira Falisha Abdul Rahman, 2, meninggal dunia selepas tercampak keluar dari kereta jenis Perodua Bezza dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 264.4, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan selepas Terowong Menora di sini.

Sementara ibunya, Nur Fatihah Badrul Hisham, 25, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 pagi pada Isnin ketika mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kedua-dua mangsa bersama bayi dalam kandungan telah selamat dikebumikan pada Isnin.

Hantaran sama menyebut, suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, yang mengalami kecederaan parah telah melihat sendiri kejadian itu ketika dia berusaha merangkak keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan isteri dan anak.

"Kini beliau telah selamat menjalani operasi pembedahan dan masih dalam keadaan trauma," katanya.