Kebakaran saluran gas: Vincent Tan derma RM3,000, Carro sumbang 30 kereta

Iklan
Antony Loke (dua dari kanan) ketika melawat mangsa kebakaran di PPS Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada Khamis.

SUBANG JAYA - Mangsa insiden kebakaran paip gas Putra Heights bakal menerima bantuan tunai sebanyak RM3,000 bagi setiap keluarga, yang akan disalurkan oleh Berjaya Corporation Bhd (BCORP) dalam kadar segera.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, mendedahkan bahawa beliau dihubungi pengasas BCORP, Tan Sri Vincent Tan, yang bersedia untuk menghulurkan sumbangan tunai bagi meringankan beban mangsa tragedi ini.

Iklan
Iklan

"Ini adalah antara sumbangan yang sedang diusahakan, dan sudah tentu, kami di Kementerian Pengangkutan akan terus menghubungi syarikat-syarikat swasta untuk membantu sama ada dalam bentuk wang tunai, barangan keperluan, atau pengangkutan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya, di sini pada Khamis.

Iklan

Antony Loke (tiga dari kanan) ditemui pemberita ketika melawat mangsa kebakaran di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights, Subang Jaya.

Turut hadir ialah Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han.

Iklan

Menurut Anthony Loke, sokongan pihak swasta kini semakin meningkat, dan beliau berharap lebih banyak pihak tampil memberikan bantuan kepada mangsa yang terkesan.

Dalam pada itu, Prasarana Malaysia Bhd turut menyediakan kemudahan enam buah van bagi membantu keperluan pengangkutan mangsa di PPS untuk bergerak.

"Kemudahan van bergerak ini akan ditempatkan di PPS sehingga keadaan kembali stabil dan penempatan sementara ditamatkan," jelasnya.

Selain itu, syarikat Carro menerusi pejabat Exco Selangor turut bersetuju untuk menyediakan 30 buah kenderaan untuk kegunaan sementara mangsa terbabit.

"Dengan sokongan berterusan daripada sektor swasta dan pihak berkaitan, diharapkan semua mangsa kebakaran dapat dibantu dengan lebih efisien bagi membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan seperti biasa," tambahnya.