KLUANG - Seramai lapan penduduk termasuk warga emas dan dua kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam insiden banjir yang melanda Kampung Tengah, Renggam di sini, pada awal pagi Khamis.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Ismail Mamat berkata panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima pada jam 3.10 pagi.
Jelasnya, lima anggota dan sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 14 kilometer untuk menjalankan operasi menyelamat.
"Setibanya pasukan di lokasi, tujuh mangsa didapati terperangkap di kawasan banjir.
"Operasi penyelamatan segera dilakukan dengan bantuan sebuah bot bagi memindahkan mangsa ke Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kampung Renggam untuk tindakan lanjut.
"Dalam operasi itu, seorang lagi mangsa turut berjaya diselamatkan, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang dibantu seramai lapan orang," katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, keadaan cuaca di lokasi masih hujan renyai dengan paras air terus meningkat.
"Pemantauan banjir akan dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk.
"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.04 pagi," ujarnya.