Tiada penemuan mayat di lokasi kebakaran saluran gas - Polis

Iklan
Wan Azlan dalam sidang akhbar PKTK Putra Heights, Subang Jaya pada Rabu.

SUBANG JAYA - Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang ditempatkan di kawasan perumahan Taman Putra Harmoni, di sini tidak menemui sebarang mayat mangsa sekali gus menafikan dakwaan terdapat kematian dalam insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, unit ini telah masuk ke lokasi kejadian untuk kesan sekiranya terdapat mayat di lokasi.

Iklan
Iklan

"Ini kerana kita bimbang jika ada penghuni di kawasan ini tidak dapat keluar semasa insiden (kebakaran) itu berlaku.

"Setakat ini negatif dan tiada mayat di tempat kejadian," katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Rabu.

Iklan

Katanya lagi, Unit Forensik PDRM juga telah menjalankan tugas mengambil sampel tanah di lokasi kejadian untuk tujuan kajian.

Mengulas mengenai perkembangan di pusat pemindahan sementara (PPS), beliau berkata, seramai 323 orang membabitkan 84 keluarga berada Dewan Masjid Putra Heights, manakala 70 orang terdiri daripada 15 keluarga berada di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia).

Iklan

Tambahnya, setakat ini seramai 41 mangsa sedang mendapatkan rawatan di hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala selebihnya di hospital swasta.

"Tahap kecederaan di zon merah buat masa ini ialah dua orang dan zon kuning (39 orang)," ujarnya.

Dalam kejadian pada Selasa, saluran paip gas sepanjang kira-kira 500 meter di Putra Heights, Subang Jaya, meletup sebelum terbakar hingga menyebabkan kerosakan rumah, kenderaan selain kecederaan beberapa penduduk berhampiran.