Pemilik anjing Rottweiler dibebas dengan jaminan polis

Iklan
Pemilik anjing jenis Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dibebaskan dengan jaminan polis selepas haiwan peliharaannya itu menyerang lima individu sehingga cedera.

BALING – Pemilik anjing jenis Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil dibebaskan dengan jaminan polis selepas haiwan peliharaannya itu menyerang lima individu sehingga cedera.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Azmi Mokhtar berkata, lelaki warga emas berusia 69 tahun itu diberikan jaminan atas faktor usia serta keadaan kesihatannya yang mengalami masalah kecemasan mental (anxiety) dan penyakit jantung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemilik anjing berkenaan telah memberi jaminan akan hadir ke perbicaraan kes tersebut setelah mendapat tarikh yang ditetapkan oleh mahkamah.

"Pemilik anjing tersebut mempunyai masalah kesihatan serius dan dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Azmi berkata, buat masa ini, pihak polis sedang menyiapkan kertas siasatan dan akan menyerahkannya kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk pendakwaan.

"Pemilik anjing tersebut sudah memberikan keterangan kepada polis pada hari Selasa.

Iklan

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana kecuaian dalam mengawal haiwan yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang lain,” ujarnya.

Pada awal pagi Selasa, dua ekor anjing jenis Rottweiler di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil menyerang penduduk selepas dipercayai terlepas dari rumah pemiliknya, menyebabkan lima individu cedera.

Seorang wanita mengalami kecederaan serius apabila bahagian belakang kepalanya terkoyak dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Selain itu, seorang wanita, dua lelaki tempatan dan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS) berusia 28 tahun dari Mesir turut cedera dan dirawat di hospital sama.

Difahamkan pensyarah tersebut sedang berjalan menuju ke surau Taman Desa Bidara untuk menunaikan solat Subuh ketika diserang oleh anjing-anjing terbabit.

Serangan dikatakan bermula pada 4.30 pagi dengan seorang wanita warga emas menjadi mangsa pertama selepas anjing-anjing itu meloloskan diri dari rumah pemiliknya yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

Empat lagi mangsa diserang di tiga lokasi berbeza dalam kawasan perumahan itu dalam tempoh dua jam.

Dalam pada itu, Azmi memaklumkan, kedua-dua anjing terbabit telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kulim untuk pemeriksaan dan kuarantin.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah, Dr Shaharul Akmar Talib berkata, anjing-anjing tersebut akan dipantau dan diperiksa bagi memastikan sama ada terdapat tanda jangkitan rabies.

"Kes ini juga tertakluk kepada undang-undang kecil berkaitan pelesenan anjing yang dikuatkuasakan oleh Majlis Daerah Baling," katanya.

Sebelum ini, penduduk turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, selain membawa keluar anjing Rottweiler dari kawasan perumahan itu kerana ia bukan pertama kali berlaku.

Pegawai Daerah Baling, Yazlan Sunardie Che Yahaya sebelum ini mengesahkan anjing yang sama pernah terbabit dalam serangan yang dilaporkan pada 2023 di Kuala Ketil.