GURUN -"Tiada lagi air mata di pagi Syawal."
Itu janji Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu menyantuni 13 penghuni Rumah Qaseh Budiman agar mereka tidak merasa 'kekurangan' menyambut Aidilfitri.
Menurutnya, mereka disediakan dengan juadah hari raya selain pakaian baju sedondon.
"Kebanyakan mereka warga emas, sebatang kara, ada yang berstatus bujang terlajak dan ada yang uzur akibat menanggung sakit, ada yang dibuang keluarga dan ada yang tidak mahu lagi pulang ke kampung halaman berikutan pelbagai masalah dan krisis keluarga yang dihadapi.
"Ada juga antara mereka pernah hidup gelandangan dan tiada arah tuju... kesemua mereka dibantu dan ditempatkan di sini. Hari raya ni kita nak mereka gembira sambut di sini bersama keluarga besar ini, tak mahu ada air mata tumpah di pagi raya," katanya.
Jelas Natipah, bagi menghidupkan kembali jiwa yang pernah kosong, juadah hari raya seperti ketupat, rendang dan nasi minyak disediakan dengan harapan mampu mengubat kesedihan terutama yang rindukan keluarga serta kampung halaman namun tidak dapat pulang berikutan pelbagai halangan.
"Ada yang tidak boleh balik disebabkan tiada waris, waris tidak boleh ambil dan masalah kesihatan tidak mengizinkan, jadi kami beraya beramai-ramai di sini...yang sihat solat hari raya di masjid," katanya.
Sementara itu, salah seorang penghuni dikenali sebagai Cik Mat, 69, dari Sabah berkata, pernah hidup sebagai gelandangan namun setelah diberi peluang tinggal bersama Natipah, hatinya senang kerana kini mempunyai tempat berteduh yang selesa, diberi makanan dan tempat tidur yang jauh lebih baik dari sebelum ini.
"Sudah tentu lebih bahagia di sini malah saya tidak mahu ke mana-mana lagi sehinggakan nak habis umur... meninggal pun di sini," ujarnya.
Seorang lagi penghuni berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) dikenali sebagai 'Boboy', 44, dari Terengganu berkata, sebelum ini, pernah ditempatkan di rumah perlindungan bukan Islam menyebabkan sukar untuk beribadat dan menyambut Aidilfitri.
"Boboy terpaksa solat atas katil kerana bimbang didekati anjing peliharaan dan sekarang apabila dah pindah ke sini dapat menumpang kasih setelah mak ayah (angkat) meninggal dunia," katanya.
Seorang lagi dikenali Pakndak, 60-an, menjelaskan, perasaan tenang dan lega kerana mempunyai tempat berteduh sekali gus menyambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran tahun ini.
"Dulu kusut, hidup dalam tekanan, sekarang lebih baik, dengan keadaan yang selesa, boleh solat dan ada guru agama...payah nak cari tempat macam ni...aman...tak perlu fikir banyak dah, nak sambut raya pun seronok," jelasnya.