BATU PAHAT – Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Kilometer 31.5, Jalan Kluang - Batu Pahat, Ayer Hitam, malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, penunggang motosikal, Al Bashan Abdul Razak, 23, maut di lokasi akibat cedera parah, manakala pemandu kereta, Zainal Rusli, 65, turut meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa sebuah motosikal yang ditunggang Al Bashan dari arah Parit Raja menghala ke Kampung Baru Ayer Hitam.
"Apabila sampai di tempat kejadian, iaitu semasa sedang menunggang di laluan terus, tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu Zainal dari arah bertentangan terus membelok kenderaan ke sebelah kanan, menyebabkan berlaku kemalangan melibatkan kedua-dua kenderaan tersebut.
"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu dan penunggang kenderaan terlibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Shahrulanuar berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.