144 pengedar, penagih ditahan di lubuk dadah

Iklan
Salah satu lubuk dadah yang digempur dalam Op Sarang selama tiga hari.

MELAKA - Polis Melaka berjaya menahan 144 individu termasuk penagih dan pengedar dadah dalam 142 serbuan berasingan di lokasi sarang dadah yang dijalankan sekitar negeri ini bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

Op Sarang yang dijalankan secara besar-besaran itu diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah serta balai polis di negeri ini.

Iklan
Iklan

Ketuanya, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, 86 individu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas didapati positif dalam ujian saringan air kencing.

Menurutnya, selain itu 39 individu ditahan atas kesalahan memiliki dadah termasuk 27 individu ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Iklan

Katanya, dua individu ditahan di bawah Seksyen 6 akta yang sama, manakala 10 individu lagi disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Polis juga berjaya menahan tujuh individu disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dengan empat daripadanya disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952, manakala tiga individu lagi disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Iklan

"Sepanjang operasi itu seramai 244 individu telah diperiksa dan 144 daripadanya berjaya ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad

Tambahnya, seramai 12 individu turut ditahan kerana dikehendaki polis atas pelbagai kesalahan dadah.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya juga berjaya merampas pelbagai jenis dadah termasuk heroin 39.32 gram (g); 9.13g syabu, 3.70g ganja; tiga kilogram (kg) daun ketum, 31.40 liter air ketum; 1.03 liter cecair ketamin yang keseluruhan bernilai RM3,145.00.

Ujarnya, kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan polis tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Kita akan terus mempergiatkan operasi seumpama ini bagi memastikan Melaka bebas daripada ancaman dadah.

"Polis menggesa masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka di 012-2087222," katanya.