MELAKA - Polis menahan suami kepada suri rumah berusia 35 tahun yang parah selepas terjatuh dari tingkat empat Pangsapuri Cheng Ria di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 8 pagi itu, dikatakan pasangan berkenaan bertengkar sebelum wanita itu dilaporkan terjatuh dari balkoni rumah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 32 tahun telah ditahan pada hari kejadian dan direman selama enam hari bermula hari ini.
"Siasatan mendapati pasangan itu bergaduh disebabkan masalah hutang dan sewa rumah tertunggak selama tiga bulan.
"Selain itu suami mangsa juga dikatakan gagal menjelaskan bil elektrik dan air," katanya pada Sabtu.
Ujarnya, mangsa kini masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kecederaan parah dialami.
Katanya, kecederaan dialami mangsa membabitkan pendarahan di kepala, patah tangan kanan dan rusuk kiri serta kecederaan organ dalaman (perut) juga patah tulang belakang.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan polis menerima berhubung kejadian pada 8.55 pagi, Jumaat.
Tiada saksi yang melihat insiden tersebut, namun seorang jiran di tingkat bawah memberitahu bahawa dia terdengar bunyi dentuman sebelum mendapati mangsa sudah terbaring di bawah.
Siasatan awal mendapati suami mangsa mengakui berlaku pertengkaran mulut sebelum mendakwa isterinya bertindak melompat dari balkoni.