GEORGE TOWN - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan cadangan projek penambakan tanah bersebelahan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong kerana dikhuatiri memberi kesan buruk terhadap alam sekitar dan kesihatan awam.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu tidak seharusnya diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana impak negatif terhadap ekosistem, khususnya Middle Bank yang kaya dengan biodiversiti marin.
Menurutnya, cadangan pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong melibatkan kawasan seluas 36.42 hektar, manakala penambakan dirancang meliputi 28.33 hektar tanah.
"SAM bersetuju bahawa penutupan selamat tapak pelupusan ini amat diperlukan kerana masalah seperti air larut resap, pelepasan gas metana, bau busuk, pemendapan tanah dan risiko kebakaran boleh menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran serta mencemarkan alam sekitar.
"Bagaimanapun, pemulihan tapak ini boleh dilakukan tanpa perlu menambah tanah melalui penambakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelas Meenakshi, laporan EIA membentangkan tiga pilihan bagi pemulihan tapak pelupusan tersebut iaitu menutup sepenuhnya tapak itu dan menjadikannya kawasan taman.
"Pilihan kedua adalah pembangunan semula keseluruhan tapak, namun ia dianggap tidak berdaya maju. Pilihan ketiga pula melibatkan penutupan tapak pelupusan serta penyingkiran sisa yang ada.
"Keputusan akhir dalam laporan EIA adalah untuk menggabungkan pilihan pertama dan ketiga, iaitu menjadikan tapak itu sebagai kawasan taman bersama program pemulihan bahan dan kerja tanah bagi pembangunan.
"Bagaimanapun, pilihan ini memerlukan tambahan tanah, justeru kerajaan negeri mencadangkan projek penambakan di kawasan bersebelahan,” katanya.
Beliau menambah, laporan EIA turut menyatakan kawasan projek itu melibatkan Middle Bank, walaupun sempadan sebenar kawasan itu masih belum dipastikan.
"Ini bercanggah dengan kenyataan Ketua Menteri yang dilaporkan media bahawa projek ini tidak akan menceroboh kawasan Middle Bank,” katanya.
Menurutnya, aktiviti penambakan akan merosakkan kualiti air dengan meningkatkan kadar kekeruhan, membebaskan bahan tercemar, mengurangkan oksigen terlarut serta menghasilkan sisa berbahaya.
"Middle Bank yang terdiri daripada rumpai laut dan dataran lumpur merupakan habitat penting bagi spesies marin dan kawasan pembiakan ikan.
"Jika projek ini diteruskan, ia akan mengancam ekosistem marin dan menjejaskan mata pencarian nelayan.
"Selain itu, air larian pembinaan serta air larut resapan boleh meresapkan toksin ke laut dan mencemarkan perairan,” katanya.
Dalam pada itu, Meenakshi turut menyatakan kebimbangan mengenai kesan projek itu terhadap penduduk berhampiran, termasuk pencemaran udara dan bunyi akibat operasi loji kitar semula sisa.
"Kerja-kerja penggalian boleh membebaskan bahan zarah berbahaya seperti PM2.5 dan PM10, yang boleh menyebabkan masalah pernafasan serta penyakit jantung.
"Kesan jangka panjang terhadap kanak-kanak dan komuniti berisiko juga tidak dinilai dengan secukupnya dalam laporan EIA,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun langkah mitigasi telah dicadangkan dalam laporan EIA, pencemaran tetap akan berlaku dan menjejaskan penduduk serta alam sekitar.
"SAM menyokong gesaan Jawatankuasa Bertindak Melindungi Karpal Singh Drive agar kerajaan negeri menolak cadangan penambakan ini.
"Laporan EIA sendiri mengesahkan bahawa tapak pelupusan ini boleh dipulihkan tanpa perlu menambah tanah, maka projek penambakan ini tidak diperlukan,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengesahkan cadangan untuk menambak tanah di perairan berdekatan Persiaran Karpal Singh serta kerja-kerja pemulihan Tapak Pelupusan Sampah Jelutong tidak akan menceroboh kawasan perlindungan marin Middle Bank.
Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah memastikan bahawa projek yang dicadangkan itu tidak melibatkan kawasan yang telah dikenal pasti sebagai Middle Bank Marine Sanctuary.