PUTATAN - Seorang penunggang motosikal yang menunggang secara cuai hingga melanggar cermin sisi sebuah kereta sebelum terjatuh dan menyalahkan pemandu kenderaan tersebut menerima kecaman warga maya.
Dalam video berdurasi 19 saat yang tular, lelaki berkenaan dilihat menunggang laju ketika keadaan jalan dipercayai sesak berhampiran simpang masuk ke Putatan.
Iklan
Iklan
Selepas terjatuh, penunggang motosikal itu bertindak agresif dengan memukul cermin tingkap kereta berulang kali, seolah-olah menyalahkan pemandu berkenaan atas kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, mengesahkan pihaknya menerima makluman mengenai insiden itu.
"Kejadian berlaku di Jalan Papar-Kota Kinabalu kira-kira jam 3.20 petang Jumaat, melibatkan penunggang motosikal dan pemandu Perodua Kenari.
"Siasatan mendapati penunggang motosikal berkenaan bersalah dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana cuai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Bagaimanapun, Sammy memaklumkan kedua-dua pihak telah berdamai dan kes diselesaikan tanpa tindakan lanjut oleh polis.