'Iklil Nuraudah anak bertanggungjawab, beri kami RM1,000 sebulan' - Bapa

Iklan
Keadaan Proton X50 dipandu Iklil Nuraudah remuk selepas terlibat kemalangan. Allahyarhamah Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa (kanan).

PASIR GUDANG-"Dia seorang anak yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan menyayangi keluarga”.

Itu luahan Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47, bapa kepada Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang maut dalam nahas di kilometer (km) 58.1, Lebuhraya Plus arah selatan malam Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Iklil Nuraudah antara lima individu maut yang dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan pada jam 11.30 malam, Khamis lalu.

Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada dinaiki enam beranak, Proton X50 dipandu Ikli Nuraudah, kereta Toyota Camry dan treler.

Iklan

Menurut Muhamad Redzaa, dia sememangnya tidak menyangka kehilangan anaknya itu pada masa seperti ini lebih-lebih lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Memang saya tidak menyangka akan ‘kehilangannya’ secepat ini. 26 Mac hari tu, kami pun ada rancangan sambut hari lahirnya di rumah sewanya, di Sepang, tapi tak jadi dan kami hanya kirimkan ucapan.

Iklan

"Dia memang seorang anaknya seorang bertanggungjawab terhadap keluarga dan suka menyayangi keluarga dan malah memberikan wang belanja RM1,000 sebulan kepada kami.

"Ini kehilangan yang besar buat kami sekeluarga, tambahan pula masa takbir raya nanti pasti buat saya berasa sangat sedih,” katanya.

Muhamad Redzaa berkata, ketika kejadian anak keduanya yang bertugas sebagai pramugari syarikat penerbangan Batik Air itu dalam perjalanan pulang ke Pasir Gudang bagi membawa keluarga beraya di rumah sewanya di Sepang, Selangor.

"Iklil Nuraudah meminta kami bersiap awal kerana bercadang bertolak selepas Subuh.

"Kami sekeluarga menunggu kepulangannya, tetapi apabila jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam, saya mula risau kerana dia masih belum tiba.

"Bagaimanapun, pada jam 5 pagi saya mendapat perkhabaran daripada anak sulung mengenai kemalangan yang berlaku hingga meragut nyawa Iklil Nuraudah,” katanya.

Tayar hadapan sebelah kanan sebuah treler pecah dipercayai punca kemalangan dan meragut empat nyawa.

Mangsa maut ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, dan anak mereka, Maryam Nusaibah, 2.

Dua lagi yang maut adalah pemandu kereta Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dari Nilai, Negeri Sembilan dan penumpang hadapan kereta itu, Mohd Nur Afiji Asamad, 27, yang beralamat dari Kudat, Sabah akibat cedera parah di kepala dan badan.