KUANTAN - Tunggakan bil perubatan dan dakwaan terlibat dalam jenayah menjadi punca seorang pesara guru menyerahkan wang simpanannya kepada sindiket penipuan sehingga menyebabkan kerugian RM 200,000.
Kejadian bermula apabila wanita berusia 71 tahun itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa sebagai pegawai kesihatan pada 14 Februari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, menerusi panggilan tersebut, suspek menuduh warga emas itu mempunyai tunggakan bil perubatan sebanyak RM68,000.
"Mangsa menafikan dakwaan tersebut, namun kemudian dimaklumkan akaun bank miliknya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
"Suspek kemudian mengarahkan mangsa berhubung dengan beberapa individu yang kononnya pegawai polis untuk menyelesaikan masalah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Yahaya memberitahu, berdasarkan laporan, suspek memberikan arahan kepada mangsa untuk melakukan tujuh transaksi pemindahan wang ke dalam satu akaun bank yang telah ditetapkan.
"Akibat terlalu percaya, mangsa akhirnya membuat semua transaksi tersebut dan menyedari dirinya ditipu setelah membuat semua transaksi tersebut.
"Keseluruhan wang RM200,000 yang dipindahkan merupakan simpanan peribadi mangsa," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap panggilan telefon mencurigakan daripada individu yang tidak dikenali, khususnya yang melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi.
"Orang ramai digalakkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang mencurigakan di laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan,” katanya.