MENUNAIKAN haji bukanlah sekadar memenuhi tuntutan Rukun Islam kelima, tetapi ia adalah perjalanan mencari rahmat ALLAH SWT.
Malangnya, masih ada segelintir individu yang terlalu memikirkan soal keselesaan dan nikmat duniawi berbanding maksud sebenar ibadah tersebut.
Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours, Datuk Md Daud Che Ngah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Daud menegaskan, haji bukan tentang nikmat, tetapi tentang rahmat ALLAH SWT.
Ketahuilah bahawa nikmat dunia hanyalah kesenangan sementara, tetapi rahmat ALLAH SWT menjadi bekalan ke akhirat, ungkapnya.
"(Mungkin dengan) Duit banyak, kita boleh buat rumah (dan ubah suai), tapi tak pergi ke Makkah pun. Ingatlah, bila kita mati kelak, rumah yang kita bina tidak akan masuk ke dalam kubur.
"Begitu juga duit banyak dan berjoli sakan, tetapi bila mati, semua itu tidak akan mengikut kecuali jika bersedekah, tunai haji atau umrah. Maka, ia barulah bererti," katanya.
Beliau turut menekankan tentang kepentingan menjaga kesihatan supaya dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Selain itu, beliau mengingatkan jemaah supaya mengikuti kursus haji dan membawa buku panduan agar tidak tersasar daripada tuntutan ibadah yang sebenar.
"Saya mengharapkan agar bakal jemaah yang telah dipanggil untuk beli sebanyak mana buku panduan yang boleh mendekatkan kita kepada ALLAH, barulah kita bakal beroleh haji yang mabrur," tuturnya.
Dalam pada itu, pendakwah terkemuka itu turut mengingatkan, ibadah haji adalah ujian keimanan, maka jemaah harus bersedia menghadapi cabaran dengan hati yang reda.
"Jangan kira kita hendak duduk senang atau sangat selesa. Apa yang Tuhan bagi (sesuatu), itu qada dan qadar ALLAH untuk menduga keimanan kita kerana kita pergi (beribadah di Tanah Suci) kerana beriman kepada-NYA," titipnya.