Khidmat 20 tahun dihargai, imam menangis dijemput ke Tanah Suci

Iklan
AZIZAM (kanan) semasa mengiringi rombongan jemaah melawat Masjid Quba' di Madinah pada Oktober tahun lalu.

HASRAT seorang imam yang telah lama berkeinginan untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah seakan-akan masih pudar disebabkan pendapatannya yang terhad dan masih belum mencukupi.

Bagaimanapun, niat baiknya itu tidak pernah padam dari hatinya yang kini sudah menjejaki usia 50-an, malah doanya juga tidak putus-putus agar dijemput menjadi tetamu ALLAH SWT ke Haramain.

Iklan
Iklan

Pintu hati dermawan tersebut terketuk untuk menajanya selepas melihat dedikasinya dalam menjalankan tugas sebagai imam selama kira-kira 20 tahun.

Imam tersebut menangis terharu apabila dimaklumkan mendapat tajaan itu dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, ramai penduduk kampung hadir ke kenduri kesyukuran yang dianjurkannya.

Iklan

Mereka berkumpul di rumah imam untuk mengucapkan tahniah selain mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya sepanjang berada di sana.

AZIZAM

Iklan

Kisah tersebut diceritakan seorang mutawif, Azizam @Azizi Basar, 47, yang melihat bahawa ALLAH SWT akan menjemput sesiapa yang berhasrat, mempunyai niat dan benar-benar ikhlas untuk berkunjung ke Tanah Suci.

Pasang impian ke Haramain, terus berdoa

Menurutnya, setiap umat Islam perlu memasang impian untuk ke Makkah dan Madinah walaupun masih belum mempunyai sumber kewangan yang cukup.

"Belum tentu yang ada duit akan sampai dahulu ke Makkah, akan tetapi perancangan ALLAH SWT lebih utama. Seorang yang menabur bakti di masjid sekian lama namun masih belum mampu ke Makkah kerana tiada upaya sumber kewangan akhirnya tetap pergi menjadi tetamu-NYA.

Azizam yang telah berpengalaman menjadi mutawif selama 15 tahun berkata, kisah imam ini mengingatkan kepada dirinya tentang keajaiban doa, keikhlasan dan kemurahan hati.

Menurutnya, apa yang diperolehi oleh imam tersebut juga adalah satu contoh nyata bahawa ALLAH SWT sentiasa mendengar doa hamba-NYA yang ikhlas.

AZIZAM (kiri) berpengalaman membawa kira-kira 1,500 jemaah ke Tanah Suci Makkah dan Madinah sejak 15 tahun lalu.

"Kisah ini mengingatkan kita bahawa rezeki datang dengan cara yang tidak disangka-sangka dan keikhlasan serta doa adalah kunci untuk mendapatkan rahmat dan rezeki-NYA,” ujarnya.

Ikhlaskan niat

Azizam berkata, setiap umat Islam perlu menanam niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, baik untuk menunaikan haji atau umrah kerana niat yang tulus adalah langkah pertama dalam perjalanan spiritual yang penuh keberkatan ini.

Jelasnya, menziarahi Makkah dan Madinah, bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga perjalanan rohani yang mendalam.

Tambahnya yang berasal dari Langkap, Perak, beliau juga pernah mengiringi asnaf-asnaf lain yang tidak berkemampuan namun dapat datang ke tanah suci atas tajaan para dermawan yang mahu berkongsi rezeki dengan golongan ini.

Menurut bapa kepada tiga cahaya mata ini, menaja asnaf untuk menunaikan ibadah haji atau umrah ke tanah suci adalah suatu amalan yang sangat mulia dan berpahala besar dalam Islam.

"Dengan menaja mereka untuk menunaikan ibadah di tanah suci, kita tidak hanya membantu mereka memenuhi salah satu kewajipan, tetapi juga membawa kegembiraan dan memberi peluang kepada mereka untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

JEMAAH yang mahu melawat Raudhah di Masjid Nabawi perlu melepasi kawalan ketat pihak berkuasa tempatan yang tegas mengawal keadaan di kawasan tersebut.

"Membantu asnaf menunaikan haji atau umrah, kita sebenarnya menggalakkan mereka untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan mereka.

"Malah mereka yang dibantu ini akan mendoakan kebaikan dan keberkatan kepada penaja dan doa mereka adalah mustajab,” ceritanya yang telah mengiringi hampir 1,500 jemaah ke Haramain.

"Memberikan kegembiraan kepada orang lain, terutama yang memerlukan dan memberikan kepuasan yang luar biasa kepada mereka akan turut meningkatkan perasaan syukur dalam diri kita,” ujarnya.