WAH, Malaysia memang ‘syurga’ kepada segala macam jenis dadah! Syabu, ais, pil kuda - semua dah jadi menu harian buat penagih kita.
Sekarang, muncul pula fentanyl, dadah ‘zombi’ yang dikatakan 100 kali lebih kuat daripada morfin. Bagus! Seolah-olah kita masih tak cukup ‘hiburan’ dengan statistik penagih sedia ada.
Laporan terkini mendedahkan dadah ini sudah mula menyelinap masuk ke negara kita.
Yang menariknya, fentanyl bukan calang-calang - di Amerika Syarikat, dadah ini membunuh lebih ramai orang berbanding heroin. Kalau di sana pun dah parah, bayangkan apa nasib Malaysia nanti?
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara sendiri mengesahkan fentanyl telah dikesan dalam air kumbahan di Lembah Subang.
Nah, kalau dah ada dalam sistem kumbahan, maknanya ia dah ada ‘pasaran’ di sini. Tapi, biasalah... bila dah parah, barulah kita kalut.
Nanti kita dengar ayat klise, 'Kita akan tingkatkan pemantauan' atau 'Tindakan tegas akan diambil'. Sampai bila nak tingkatkan pemantauan? Sempat lagikah kita hendak selamatkan keadaan bila ‘zombi’ ini dah merebak ke setiap ceruk bandar?
Apa yang menakutkan, fentanyl lebih murah, lebih mudah dihasilkan dan lebih cepat membawa maut. Macam pakej tiga dalam satu untuk memusnahkan masyarakat! Jika dulu syabu cukup untuk menjahanamkan generasi muda, fentanyl bakal menjadikan mereka ‘mayat berjalan’ lebih cepat.
Jadi, apa langkah seterusnya? Tunggu lebih ramai anak muda rebah dulu sebelum bertindak? Atau kita nak tengok dulu sejauh mana ‘kehebatan’ dadah ini merosakkan negara?
Jika kita masih bermain wayang dalam isu ini, jangan terkejut jika Malaysia bakal berdepan ‘apocalypse’ dadah yang lebih dahsyat. Allahyarham Mamat Khalid dah lama bagitau fasal zombi, kita saja yang lalai.