Wanita panik, monyet ‘tumpang’ kereta sejauh 20km

Iklan
Salamiah yang berkongsi kejadian tersebut di akaun TikTok miliknya sehingga menjadi tular.

SHAH ALAM - Seorang wanita berdepan detik mendebarkan apabila seekor monyet secara tiba-tiba ‘menumpang’ di atas keretanya sambil 'menikmati' udara perjalanan sejauh 20 kilometer (km) sebelum ia diturunkan oleh pihak bomba di balai bomba berdekatan.

Kisah bermula apabila Salamiah Mupit, 52, dalam perjalanan pulang dari pejabat di Kuchai Lama, Kuala Lumpur, ke rumahnya bersama seorang lagi rakan sekerja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada Selasa kira-kira jam 4 petang itu menyaksikan monyet tersebut naik ke atas bumbung kereta ketika dia hendak keluar dari simpang berdekatan dengan pejabatnya.

Salamiah

"Pada mulanya saya sangka ia sudah turun, tetapi selepas beberapa minit, seorang penunggang motosikal memberi isyarat bahawa ada sesuatu di atas kereta saya.

Iklan

"Saya segera menoleh ke belakang dan terkejut melihat monyet itu masih berada di atas bonet belakang.

"Kemudian lama-kelamaan monyet itu duduk di bonet hadapan, ada juga cubaan daripada penunggang motosikal yang lalu lalang untuk halau tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Salamiah yang berasal dari Perak menambah, disebabkan monyet itu berada di atas keretanya, dia terpaksa memandu perlahan sehingga menyebabkan ada beberapa kereta lain membunyikan hon kepadanya.

Jelasnya, dia bimbang jika sekiranya monyet itu melompat dan mencederakan diri, jadi membawa kereta perlahan adalah pilihan yang lebih selamat.

"Saya panik sebenarnya, tapi saya memandu sekitar 60 hingga 80 km sejam (km/j), nak elakkannya jatuh atau tiba-tiba turun... kalau monyet itu lompat agak selamat sebab perlahan sahaja.

"Ketika itu juga dalam perjalanan memang akan lalu di balai bomba... lebih kurang 20km dan mengambil masa sejam untuk tiba. Jadi kami terus pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail.

"Alhamdulillah, bila sampai abang bomba tolong uruskan segalanya guna alat mereka,” ujarnya.

Mengulas berkenaan insiden yang tular di media sosial, Salamiah mengakui tidak menyangka kejadian itu akan menjadi perhatian ramai.

"Ada juga saya perasan pengguna jalan raya mengambil video ketika kejadian.

"Kemudian saya juga ingin memohon maaf kepada pemandu lain jika apa yang saya lakukan dianggap membahayakan. Tak ada niat untuk cederakan monyet itu... saya cuma nak pastikan ia selamat sahaja,” jelas Salamiah.

Tambahnya, monyet tersebut juga tidak menunjukkan tanda ketakutan, malah kelihatan ‘santai’ menikmati perjalanan sambil melihat kiri dan kanan.

"Mungkin monyet itu seronok naik kereta atau mungkin juga sejuk sebab kemudian monyet itu sempat kencing atas kereta saya,” katanya berseloroh.