PUTRAJAYA - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu mempertimbangkan untuk meneroka potensi tanaman pokok nipah.
Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, terdapat 450,000 hektar tanaman pokok nipah tumbuh secara semula jadi di tepi sungai yang boleh diusahakan Felda.
"Contohnya jika satu hektar mempunyai 1,000 pokok nipah dan sepokok mampu mengeluarkan hasil 2.5 liter nira nipah,” katanya pada Khamis.
Beliau memberitahu, pokok nipah selain kaya dengan sumber gula, nira nipah juga boleh dijadikan cuka dan bahan boleh diperbaharui iaitu etanol.
"Jadi dengan 450,000 hektar di seluruh negara, ia boleh diagihkan kepada kumpulan baharu seperti generasi kedua dan ketiga serta golongan kurang berkemampuan untuk meningkatkan pendapatan keluarga.
"Saya rasa penanaman pokok nipah boleh menjadi industri baharu tanpa perlu mengeluarkan pelaburan yang banyak kerana pokok nipah boleh hidup sehingga 35 tahun,” jelasnya.
Menurut Barjoyai, Felda hanya perlu mengeluarkan sedikit pelaburan bagi membolehkan hasil kutipan dari pokok nipah menggunakan teknologi terkini.
"Ini akan memudahkan kutipan hasil yang dibuat setiap hari dan perlu juga melihat bagaimana teknologi ini dapat menolong semua orang terutamanya petani untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu memberi tempoh sebulan kepada pengurusan Felda untuk mengemukakan pelan tindakan baharu bagi menentukan hala tuju badan berkenaan agar lebih berdaya saing.
Setakat ini, Felda terlibat dalam pelaburan terutamanya dalam sektor perladangan, agribisnes, hartanah dan perniagaan yang berkaitan komoditi.
Anak syarikat utama Felda, FGV Holdings Berhad (FGV), merupakan antara syarikat perladangan terbesar di dunia, dengan fokus utama kepada kelapa sawit, getah, dan tebu.
Selain daripada itu, Felda juga terlibat dalam industri makanan, logistik, dan pembangunan hartanah.