HULU SELANGOR- Pelajar Asrama Kasih Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Serendah, di sini teruja apabila dapat berbuka puasa dengan hidangan istimewa menerusi program Jaulah Iftar Rewang anjuran Coca-Cola Malaysia.
Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed berkata, program itu bertujuan menceriakan golongan kurang berkemampuan selain menunjukkan komitmen syarikat terhadap masyarakat.
"Kami mahu anak-anak ini tahu bahawa mereka tidak bersendirian, sebaliknya mereka adalah pemimpin masa depan yang perlu dihargai dan mendapat sokongan sewajarnya,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.
Wan Ahmad memberitahu, CocaCola Malaysia sentiasa prihatin terhadap golongan memerlukan menerusi penganjuran program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti.
Jelas beliau, program itu bertujuan menceriakan penghuni rumah kebajikan serta membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya turut mengadakan program serupa bersama bomba di Shah Alam, namun kali ini tumpuan diberikan kepada anakanak dari Asrama Kasih YBK, Serendah.
"Objektif utama program tetap sama iaitu membantu mereka kurang berkemampuan, namun kali ini fokus diberikan kepada golongan pelajar,” jelasnya.
Dalam usaha memberi lebih manfaat kepada peserta, Wan Ahmad menjelaskan, program itu turut menyediakan cara pembuatan piza, yang bukan sahaja menyeronokkan malah membina kemahiran berguna pada masa depan.
"Program ini memberi pengalaman berharga kepada anak-anak dalam menyediakan makanan serta merasai suasana berbuka puasa secara beramai-ramai,” ujarnya.
Menurut Wan Ahmad, lebih 300 botol minuman turut diedarkan kepada penghuni YBK sebagai sebahagian daripada inisiatif terbabit.
Selain itu, katanya, pihaknya juga merancang pelbagai program CSR lain termasuk kerjasama dengan sebuah universiti awam bagi meningkatkan penguasaan ekonomi dalam kalangan golongan muda.
"Kami mahu program seperti ini menjadi titik permulaan kepada pelajar untuk terus berjaya dan lebih ramai komuniti akan dibantu pada masa akan datang,” katanya.
Pengisian menarik
Pengetua Asrama Kasih YBK, Serendah, Halimaton Saa’diah Mohd Nawawi pula menyifatkan program itu amat bermakna kerana majoriti penghuni hanya pulang ke kampung sebulan atau dua bulan sekali untuk bertemu keluarga.
"Kehadiran pihak luar seperti CocaCola Malaysia memberi semangat dan motivasi kepada anak-anak ini untuk berusaha dalam pelajaran serta mencapai cita-cita,” katanya.
Menurutnya, seramai 116 pelajar terdiri daripada anak yatim, asnaf dan golongan B40 ditempatkan di asrama itu bagi mendapatkan akses pendidikan lebih baik.
Menyentuh soal kos operasi, Halimaton Saa’diah mendedahkan, asrama itu memerlukan hampir RM30,000 sebulan bagi menampung perbelanjaan makanan, bil utiliti, buku dan keperluan perubatan pelajar.
"Dana diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta hasil aset YBK, tetapi kami sentiasa mengalualukan bantuan lain termasuk daripada korporat dan individu.
"Kami berterima kasih kepada CocaCola Malaysia kerana menjadikan Ramadan anak-anak ini lebih bermakna,” katanya.
Penghuni asrama itu, Muhammad Faris Zafwan Ahmad Fadzil, 15, berkata, pelbagai pengisian menarik dijalankan dan ia secara tidak langsung mengubat kerinduan terhadap ibu bapa terutama semasa Ramadan.
Anak sulung daripada empat beradik berasal dari Sungai Buloh berkata, dia sudah menetap di asrama itu sejak dua tahun lalu.
"Terima kasih Coca-Cola Malaysia Malaysia kerana menceriakan kami lebihlebih lagi semasa Ramadan,” katanya.
Nur Irsha Darwina Zamri, 15, turut meluahkan rasa gembira dengan program itu yang memberi inspirasi untuk berjaya. Remaja berasal dari Bukit Beruntung itu memasang impian menjadi usahawan dan program tersebut makin menguatkan minatnya dalam bidang perniagaan.
"Saya seronok sebab dapat merasai sendiri cara membuat piza dan berharap dapat berniaga pada satu hari nanti,” katanya penuh bersemangat.