'Lihat dari sudut hikmah, usah cepat mengkritik' - Pendakwah

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis. - Gambar kecil (Wan Akashah)

SHAH ALAM - Respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung isu pelajar memuat naik gambar memijak al-Quran wajar dilihat dari sudut hikmah Islam yang menuntut kebijaksanaan dan pendekatan seimbang serta bukan reaksi menghukum secara terburu-buru.

Pendakwah, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, Islam menyeru agar sesuatu tindakan dilakukan dengan hikmah, teladan yang baik serta adab sopan.

Iklan
Iklan

“Tidak boleh semuanya diambil tindakan tegas, ada masanya kita kena berlembut dan ada masanya kita kena berkeras.

“Pendekatan ini boleh digunakan sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam. Kalau melibatkan orang bukan Islam yang melakukan kesalahan, mungkin dengan cara kita berlembut secara tidak langsung memberi hidayah kepadanya untuk memahami Islam dengan lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, kenyataan Zulkifli bahawa isu menghina Islam dengan memijak al-Quran perlu ditangani dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan melalui pendekatan mengajar daripada terus menghukum dikritik oleh segelintir pihak.

Zulkifli dilapor berkata, mengambil pendekatan mengajar daripada terus menghukum selari dengan konsep taaruf dalam Islam iaitu saling mengenali, memahami dan mendekati dengan ilmu serta akhlak yang baik.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai pendekatan berlembut, Wan Akashah merujuk sirah Nabi Muhammad SAW yang menegur dengan baik seorang lelaki yang kencing di dalam masjid walaupun perbuatan itu salah, sebagai teladan pendekatan berhikmah yang mendidik tanpa kekerasan.

“Ketika itu ada sahabat Rasulullah nak memukul lelaki tersebut tetapi baginda menahannya, kemudian Rasulullah nasihatkan dia. Itu satu contoh baik yang Nabi Muhammad tunjuk pada kita,” jelasnya.