JASIN - Lelaki yang kehilangan isteri dalam kemalangan selepas menghantar anaknya ke sekolah tekad untuk menjaga empat anaknya termasuk bayi berusia enam bulan.
Tengku Syafarin Tengku Abdullah, 45, berkata, biarpun hanya bekerja kampung namun kasih sayang dan amanah arwah isterinya untuk menjaga anak-anak tidak akan diabaikan.
Menurutnya, sudah pasti hari lebaran yang bakal menjelma tidak lama lagi sedikit sebanyak meninggalkan kesan kerana ini pertama kali menyambutnya tanpa insan bernama isteri.
Dalam pada itu, Tengku Syafarin turut menafikan bahawa dia bukan tidak pernah pulang ke kampungnya di Kuala Berang, Terengganu sejak berkahwin dengan arwah 19 tahun lalu, namun pertama kali arwah mengajak pulang pada awal Ramadan berbanding sebelum ini saat hampir tibanya Syawal.
"Arwah sempat mengajak kami sekeluarga pulang ke kampung di Kuala Berang, Terengganu, lebih awal daripada kebiasaan.
"Kami sebenarnya susah juga nak berkumpul anak-beranak, memandangkan anak kedua saya belajar di akademi bola sepak, tapi pada 14 Mac lalu ALLAH permudahkan perjalanan kami sekeluarga pulang ke kampung," katanya.
Tambahnya, tidak sangka keterujaan arwah untuk pulang ke kampung mentua pada Ramadan kali ini rupanya petanda terakhir sebelum pergi buat selamanya.
Tengku Syafarin berkata, beliau berharap orang ramai juga tidak salah faham bahawa dia dan isteri bukan tidak pernah pulang ke Terengganu sedangkan arwah adalah isteri dan ibu yang baik terbaik buat mereka.
Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan mangsa maut selepas menghantar anaknya ke sekolah apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka- Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau.
Kejadian yang berlaku jam 8.40 pagi menyebabkan mangsa, Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, maut di lokasi kejadian.