PKPS semarakkan Ramadan

Iklan
Muhamad Othman (tiga dari kiri) dan Noor Azreena (tiga dari kanan) memasak bubur lambuk di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Shah Alam.

SHAH ALAM – Bulan Ramadan bukan sahaja bulan ibadah dan keinsafan, tetapi juga bulan kebersamaan yang mengeratkan hubungan masyarakat.

Salah satu tradisi yang terus segar dan dinanti-nantikan setiap tahun adalah agihan bubur lambuk, hidangan ikonik yang melambangkan semangat berkongsi rezeki dan perpaduan.

Iklan
Iklan

Seperti tahun-tahun sebelumnya, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus aktif dalam menjalankan program agihan bubur lambuk bagi menyemarakkan suasana Ramadan.

Pada tahun ini, inisiatif itu dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Selangor, termasuk di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Shah Alam, dengan kerjasama Sinar Harian.

Iklan

Menurut Pengurus Komunikasi Strategik PKPS, Noor Azreena Abdul Aziz, pihaknya memberi sumbangan kepada Masjid An-Naim sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti setempat.

"Kami mahu memastikan sumbangan ini dapat membantu lebih ramai penduduk di sekitar Jalan Kebun. Ini juga satu usaha untuk mengeratkan hubungan antara PKPS, Sinar Harian, pihak masjid dan masyarakat setempat,” ujarnya ketika ditemui di lokasi pada Khamis.

Iklan

Beliau turut menambah bahawa program ini bukan sekadar mengagihkan bubur lambuk tetapi juga memperkenalkan produk-produk Ehsan keluaran PKPS kepada masyarakat.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk beras, minyak masak dan bahan-bahan asas yang digunakan dalam penyediaan bubur lambuk.

Selain itu, PKPS turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak masjid bagi menyokong aktiviti kebajikan mereka sepanjang bulan Ramadan.

Seorang kakitangan PKPS mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk setempat.

PKPS penaja utama

Sementara itu, Nazir Masjid An-Naim, Muhamad Othman Ahmad Mughni, 58, berkata aktiviti memasak bubur lambuk telah lama menjadi amalan pihak masjid sebagai satu bentuk kebajikan kepada masyarakat.

"Tujuan utama program ini adalah untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan makanan berbuka puasa. Lebih daripada itu, ia juga menerapkan kepentingan bersedekah dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya, program kali ini lebih istimewa kerana PKPS menjadi penaja utama, sekali gus menjadikannya lebih besar dan memberi manfaat kepada lebih ramai penerima.

"Setiap individu yang memberi makan kepada orang berpuasa akan mendapat ganjaran yang besar. Kami ingin memastikan budaya ini terus diamalkan agar menjadi kebiasaan dalam masyarakat di Jalan Kebun,” ujarnya lagi

Beliau turut berharap program ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sekadar untuk memberi makan tetapi juga sebagai platform mendidik masyarakat tentang nilai syukur, prihatin dan sedekah.

Noor Azreena (enam dari kanan) bersama penduduk sekitar yang menyediakan bubur lambuk di Masjid An-Naim, Jalan Kebun, Shah Alam.

30 sukarelawan terlibat menyediakan bubur lambuk

Bagi penerima, program ini sangat bermakna, lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Miswan Salim, 59, menyatakan bahawa agihan bubur lambuk itu sangat membantu kerana kos untuk membuatnya sendiri agak tinggi.

"Kalau buat sendiri di rumah, kos RM50 pun belum tentu cukup. Jadi, program ini bukan sahaja menjimatkan wang tetapi juga membolehkan kami menikmati bubur lambuk yang enak tanpa perlu bersusah payah memasak,” ujarnya.

Seorang lagi penerima, Nur Faziana Ismail, 32, turut berkongsi rasa syukurnya terhadap inisiatif ini.

"Sebagai ibu bekerja, saya sangat menghargai program seperti ini. Selain menjimatkan perbelanjaan, ia juga memudahkan saya kerana tidak perlu bersusah payah menyediakan makanan tambahan untuk berbuka,” ujarnya.

Di sebalik kehangatan menikmati bubur lambuk, program ini tidak akan berjaya tanpa tenaga 30 sukarelawan yang berusaha sejak awal pagi bagi memastikan penyediaannya berjalan lancar.

Zaidon Daud, 69, seorang sukarelawan yang terlibat dalam gotong-royong memasak berkata, pengalaman ini sangat bermakna kerana ia mengajarnya tentang kesabaran, kerjasama, dan kepentingan berkongsi rezeki.

"Paling seronok adalah apabila melihat senyuman orang yang menerima bubur lambuk ini. Itu sudah cukup membuatkan saya rasa puas,” katanya.

Program ini bukan sekadar menyediakan juadah berbuka, tetapi juga menjadi simbol ukhuwah Islamiah dan keprihatinan terhadap sesama insan.

Ramadan mengajar umat Islam tentang kesyukuran, pengorbanan, dan keikhlasan dalam memberi.

Melalui agihan bubur lambuk ini, nilai-nilai tersebut dapat diterapkan dalam kehidupan seharian masyarakat.

PKPS berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan dikembangkan lagi pada masa akan datang, agar lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat daripada program kebajikan sebegini.