KUALA LUMPUR - Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul menasihatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menyalahgunakan nama serta nombor telefon bimbitnya bagi memperdaya mangsa.
Johari berkata, sindiket berkenaan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ribuan individu dalam senarai kontak telefonnya, meminta bantuan kewangan dengan janji akan membayarnya semula.
Beliau berkata, sindiket itu menggunakan nombor telefon serta gambar profil WhatsApp miliknya, menjadikannya kelihatan seolah-olah mesej tersebut benar-benar dihantar oleh beliau.
Johari berkata, beliau menyedari mengenai kejadian itu pada 25 Mac, ketika berada di luar negara selepas menerima pertanyaan daripada kenalan yang menerima mesej sedemikian.
"Masa itu saya berada di Kemboja (lawatan kerja) dan sewaktu saya pulang pada malam itu, sahabat saya yang juga berada bersama saya di dalam kapal terbang telah menunjukkan mesej berkenaan.
"Sebaik tiba ke Malaysia, saya menerima banyak mesej dan panggilan berkenaan perkara ini, terdapat seorang mangsa yang telah memasukkan sebanyak RM20,000 kerana mempercayai bahawa mesej itu benar-benar daripada saya,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Khamis.
Johari turut meminta mangsa yang telah membuat pemindahan wang ke akaun sindiket itu segera membuat laporan polis, serta menghantar salinan laporan dan resit transaksi ke Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Parlimen Malaysia untuk tindakan lanjut.
"Saya juga akan berbincang dengan pihak polis dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bagi menangani isu ini, kerana ia bukan sekadar melibatkan saya tetapi boleh menimpa sesiapa sahaja.
"Saya difahamkan oleh MCMC bahawa sindiket ini mungkin mendapatkan akses kepada maklumat telefon saya melalui pautan yang dihantar dalam bentuk jemputan digital atau mesej lain yang mengandungi perisian hasad,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, boleh berhubung dengan Setiausaha Akhbar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Shaira Amira Jamal Abdul Nasir di talian 03-26017462. - Bernama