KUALA LUMPUR - Syarikat tekstil, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel) memaklumkan hampir mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurusan sebuah kuil di sini, namun dinasihatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa untuk tidak berbuat demikian.
Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, Dr Zaliha telah menasihatkan beliau berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebelum kejayaan hari ini tercapai, saya dan adik saya Nizam (Datuk Mohamed Nizam) telah membawa pelan kelulusan pembangunan masjid yang tertangguh untuk dibentang kepada Dr Zalihah dan beliau menyambut baik hasrat ini.
"Beliau memberi sokongan tapi kami ada pandangan lain, kami telah menunggu selama 11 tahun dan ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap jiran kami ini (kuil).
"Tetapi ia dihalang oleh Dr Zalihah, mengatakan ini akan menjadi satu isu besar melibatkan sensitiviti kaum dan menyarankan agar saya dan Nizam jumpa terus dengan Datuk Seri Anwar," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Madani di Jalan Munshi Abdullah di sini pada Khamis.
Faroz menjelaskan bahawa usaha pembinaan masjid di tapak berkeluasan 12,142 kaki persegi itu telah dimulakan pada 2009, dengan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, surat tawaran rasmi dikeluarkan pada 6 Ogos 2012 diikuti bayaran deposit 10 peratus sebelum perjanjian jual beli dengan DBKL ditandatangani dan bayaran baki diselesaikan pada 2014.
"Pada Julai 2019, Jakel menghantar surat permohonan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk membina masjid. Pada 26 Julai 2019, pihak syarikat menerima sokongan pembinaan daripada Jawi dan meluluskannya.
"Tahun sama permohonan ‘development order’ (DO) dikemukakan ke DBKL dan diluluskan pada 12 Februari 2020. Pada 17 Jun 2021 kelulusan pelan bangunan diperoleh daripada DBKL. Kelulusan ini turut diperbaharui beberapa kali sehingga hari ini,” katanya.