SHAH ALAM - Ketegasan dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu pemindahan kuil dan pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur merupakan cerminan nilai sebenar Islam sebagai agama membawa rahmat dan keharmonian dalam negara.
Pengerusi Sekretariat Muafakat Agamawan Memperkasa Institusi Raja dan Rakyat (Mampir), Ghazali Daud @ Aki Li berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan atas tindakan Perdana Menteri yang dianggap sebagai langkah tepat dalam memastikan isu tersebut diselesaikan secara adil dan berlandaskan perundangan.
Beliau turut meminta agar ketegasan dan kebijaksanaan sama diterapkan dalam menangani isu-isu lain yang berkaitan, selaras dengan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang yang telah termaktub.
"Kami juga berharap agar penyelesaian isu ini tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu sebagai alasan atau sandaran bagi golongan yang cuba mengabaikan lunas undang-undang. Agama tidak mengajar pencerobohan ke atas hak orang lain," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Ghazali, perhatian yang sama wajar diberikan kepada kes lain yang mempunyai situasi serupa, termasuk isu pengambilalihan tanah di Kampung Sungai Baru, bagi mengelakkan kerajaan dilabel sebagai mengamalkan pendirian dwistandard atau sekadar mempertahankan kepentingan politik.
Selain itu beliau menegaskan, Sekretariat Mampir berharap agar kabinet dapat mengambil langkah menoktahkan dakwaan segelintir pihak yang masih menganggap wujud diskriminasi terhadap amalan agama selain Islam di negara ini.
"Kami memohon supaya pihak kerajaan menuntut komitmen daripada pemuka agama lain untuk turut bersama menghentikan ekstremisme dalam kalangan penganut masing-masing," katanya.
Tambahnya, beberapa pakar dalam bidang berkaitan juga wajar dirujuk bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang pada masa hadapan.
"Kami sebagai rakyat marhaen yang cintakan keharmonian dan kedamaian berharap agar segala isu berkaitan dapat diselesaikan dengan adil dan berpaksikan keadilan diredai ALLAH SWT," katanya.