AMPANG - Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang tular dalam kes seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di masjid dekat Batang Kali bulan lalu, menukar pengakuan kepada tidak bersalah atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.
Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim, Norshila Kamarudin.
"Faham pertuduhan, mengaku tidak bersalah," katanya yang kini ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam di sini.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie berkata, memandangkan tertuduh menukar pengakuan, pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk serahan dokumen.
Sementara itu, peguam, Lingswaran Singh yang mewakili penganggur itu memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan terbabit.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Norshila menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes.
Pada 27 Februari lalu, lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lapan bulan bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali di sini, pada jam 6.20 pagi, 21 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketika itu, pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin namun Muhamad Adam memaklumkan tiada waris hadir untuk membuat jaminan.
Susulan itu, mahkamah menetapkan Khamis untuk laporan sosial sebelum menjatuhi hukuman.
Pada bulan lalu, Polis Hulu Selangor memaklumkan telah menerima laporan pada jam 8.19 pagi berhubung kejadian yang tular di media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari yang sama di sekitar Batang Kali.
Ketika kejadian, mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid berkenaan.
Dalam kejadian itu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang lelaki menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak yang sedang sujud dari arah belakang ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Subuh.