18 gelandangan diselamatkan dalam operasi sekitar bazar Ramadan

Iklan
Gelandangan yang diselamatkan dalam operasi bersepadu di bazar Ramadan sekitar bandar Kuantan pada Rabu dibawa ke Balai Polis Kuantan untuk proses dokumentasi.

KUANTAN - Seramai 18 gelandangan, termasuk tiga kanak-kanak diselamatkan dalam Ops Bersepadu Inter-Agensi Pengemis di bazar Ramadan sekitar Bandaraya Kuantan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, operasi yang bermula pada jam 5 petang hingga 8 malam itu tertumpu di Bazar Ramadan Mahkota Square, Menara Kuantan 188, dan Bazar Ramadan Stadium Darul Makmur di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gelandangan yang diselamatkan terdiri daripada 10 lelaki tempatan, enam warga Rohingya termasuk tiga kanak-kanak, dan dua warga Thailand.

"Kesemua gelandangan yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuantan bagi tujuan dokumentasi sebelum dirujuk kepada agensi berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Wan Mohd Zahari berkata, operasi yang disertai 83 anggota termasuk pegawai dari pelbagai agensi itu dijalankan sebagai inisiatif untuk membanteras gelandangan dan pengemis di sekitar bandar Kuantan.

"Hasil dokumentasi yang dijalankan mendapati, kesemua gelandangan terlibat bukan peminta sedekah tegar.

Iklan

"Amaran keras telah diberikan dengan larangan meminta sedekah, terutama ketika orang ramai berbuka puasa di sekitar bazar berkenaan, termasuk di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MPK1)," katanya.

Jelas beliau, dua warga Thailand, termasuk seorang wanita dan seorang lelaki Rohingya, diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang untuk tindakan selanjutnya.

"Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang melakukan proses dokumentasi terhadap kesemua gelandangan.

"Selain diberi panduan untuk mengisi borang bantuan di Pejabat Kebajikan Masyarakat, amaran keras turut diberikan kepada mereka supaya tidak meminta sedekah di sekitar bandar ini," katanya.