MARAN – Program Jelajah Iftar Sinar Mydin 2025 melabuhkan tirainya dengan penuh kemeriahan di Dataran Mydin Jengka di Bandar Tun Razak di sini pada Rabu, yang menjadi lokasi terakhir bagi edisi tahun ini.
Sambutan hangat daripada penduduk setempat dan luar Maran mencerminkan kehangatan semangat Ramadan yang terus dirai dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
Lokasi ke-9 jelajah itu berjaya mengumpulkan lebih 800 pengunjung yang hadir untuk menikmati juadah berbuka puasa selain membawa pulang pelbagai produk yang disediakan oleh penganjur dan penaja.
Program yang memasuki tahun kedua ini dengan kerjasama Sinar Harian bertujuan untuk merasai suasana berbuka secara percuma seperti di tanah suci di sembilan lokasi cawangan Mydin terpilih.
Kemeriahan berbuka di lokasi terbuka serta bersila bersama pengunjung lain menjadikan ia satu tarikan termasuk kepada pasangan suami isteri ini yang sanggup meredah perjalanan lebih 100 kilometer ke Mydin Jengka.
Maria Azila Ab Rahman, 32, bersama suaminya, Ahmad Shahbani Abdul Ghani, 40, sanggup datang dari Gambang, Kuantan dengan mengambil cuti khas sempena program tersebut.
Mengetahui program itu menerusi media sosial, Maria Azila teruja untuk mendaftar bersama suaminya menyertai program tersebut di Jengka buat julung kalinya.
"Saya sebenarnya kali pertama juga berbuka puasa di luar dengan konsep terbuka sebegini dan tidak sangka ia sangat meriah.
"Konsep terbuka dan bersila beramai-ramai sebegini memang mengimbau nostalgia dan terasa seperti di rumah," kata suri rumah terbabit.
Jelasnya, penganjuran di Mydin Jengka perlu diteruskan pada tahun seterusnya kerana dapat memberikan peluang kepada penduduk setempat serta sekitarnya merasai kemeriahan tersebut.
Suaminya, Ahmad Shahbani pula mengalu-alukan program terbabit yang dilihat dapat memberikan peluang kepada orang ramai di sini dan sekitarnya untuk berbuka puasa dengan konsep santai dan terbuka.
"Saya berpuas hati dengan lokasi yang disediakan oleh penganjur dan kemudahan parkir juga banyak, ini sangat membantu orang ramai datang ke sini.
"Paling seronok, bukan sahaja kanak-kanak malah golongan dewasa seperti kami dapat membawa pulang pelbagai produk yang diberikan secara percuma," ujar tukang masak itu.
Bagi seorang pekerja swasta, Zulfikar Zakaria, 31, dia mengetahui program itu melalui Facebook Mydin.
"Apabila dapat tahu ada program ini di Jengka, saya segera memberitahu rakan-rakan lain dan mendaftar segera supaya tidak ketinggalan.
"Syukur, kami berjaya menyertainya dan teruja kerana suasananya sangat berbeza dan ia satu peluang buat kami merasai sendiri konsep berbuka terbuka sebegini," jelasnya.
Rakannya, Syukri Mat Razi, 31, berkata, selalunya dia melihat kemeriahan konsep terbuka di padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 dan kini dapat merasainya sendiri di Jengka.
"Saya sangat berharap jelajah di Jengka dapat diteruskan pada tahun depan dan seterusnya dapat menarik ramai pengunjung," ujarnya lagi.
Penolong Pengurus Cawangan itu, Nurul Asmah Mohd Basir, 40, memberitahu, seramai 800 orang telah mendaftar untuk program berbuka puasa di Dataran Mydin Jengka yang menjadi lokasi terakhir jelajah tersebut.
"Namun, ada juga yang mendaftar secara walk-in dan selain itu kita juga menyerahkan sumbangan kepada 24 pelajar Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini serta pengagihan 1,500 bubur lambuk kepada orang ramai," tambahnya.
Dalam pada itu, penganjuran jelajah itu juga mendapat pujian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jengka, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said yang hadir menyantuni dan menyerahkan cenderamata kepada pengunjung.
"Bandar Jengka menjadi lokasi terakhir dan saya mengucapkan tahniah kepada Mydin, Sinar Harian kerana selalu berjumpa masyarakat dengan turun padang mendekati masyarakat khususnya menerusi jelajah ini.
"Alhamdulillah, saya juga rasa seronok dan bangga dengan kehadiran lebih 800 pengunjung di dataran ini dan bagi saya konsep ini satu amalan cukup baik, ramai yang datang bukan sekitar Jengka malah ada dari Temerloh, Kuantan dan Bentong," katanya.
Jelajah tersebut juga menyaksikan alunan suara dan perkongsian khas oleh Naufal Isa UNIC.
Selain itu, turut diadakan sesi penyerahan sumbangan kepada Maahad As-Sultan Ahmad Shah Addini yang disampaikan oleh wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka.
Sementara itu, penganjuran jelajah iftar ini turut mendapat kerjasama Adabi Consumer Industries Sdn Bhd.
Pengurus Jenama Promosi dan Media Korporat Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Roshidi Zabidi berkata, pihaknya sentiasa menyokong penganjuran jelajah itu dan turun padang menyediakan bubur lambuk bersama kakitangan Mydin Jengka sejak awal pagi.
"Selain itu, kita menyediakan menu berbuka puasa untuk orang ramai menggunakan produk Adabi sendiri antaranya sup daging serta Sardin Lazat, produk terbaharu syarikat yang dikeluarkan dua tahun lepas serta sayur-sayuran.
"Ini merupakan lokasi kelima jelajah yang disertai Adabi selain di Sandakan, Sabah; Petrajaya, Sarawak; Meru, Perak; Tunjong, Kelantan dan terakhir di Jengka di sini," katanya lagi.