GEORGE TOWN – Seorang suri rumah warga Vietnam mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan dua remaja pada Februari lalu.
Nguyen Thi Kim Oanh, 40, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Tertuduh memohon kes dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu kereta jenis Honda Jazz di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan tidak terdaya mengawal kenderaan itu dengan sewajarnya sehingga menyebabkan kematian Thomas Ch'ng Kai Hen yang berusia 18 tahun.
Oleh demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu kenderaan sama di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan tidak terdaya mengawal kenderaan tersebut dengan sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Ooi Qi Heng yang berusia 18 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Nguyen didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Jelutong jam 9.48 malam pada 19 Februari lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam, K Mahendran.
Prosiding turut disertai peguam pemerhati dilantik keluarga mangsa, Andy Ooi dan RSN Rayer sebagai amicus curiae (teman mahkamah).
Darrshini memohon jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan iaitu pasport tertuduh disimpan mahkamah serta lesen memandunya digantung sementara sehingga kes selesai.
Dalam rayuan bagi pihak anak guamnya, Mahendran memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan selain ditanggung suaminya.
"Tertuduh berusia 40 tahun dan berkahwin dengan warga tempatan. Dia mempunyai tiga anak berusia 16, 10, dan setahun. Tertuduh tidak bekerja dan ditanggung suaminya iaitu seorang penjaja dengan pendapatan RM3,000 sebulan.
"Selain tertuduh, suaminya juga perlu menanggung tiga anaknya. Dalam pada itu, sejak diberi jaminan polis, tertuduh memastikan dia mematuhi arahan polis dan hadir ke mahkamah.
"Dia juga berjanji akan mematuhi semua syarat ditetapkan. Oleh itu, saya mohon satu jaminan ditetapkan kerana tertuduh menghadapi dua pertuduhan," katanya.
Dalam pada itu, Rayer memohon mahkamah tidak memberi jaminan terhadap tertuduh berikutan ia merupakan kes melibatkan kepentingan awam.
"Kes ini menarik perhatian kerana melibatkan kepentingan awam yang mana pertuduhan pertama melibatkan mangsa berusia 18 tahun yang meninggal dunia manakala kes kedua melibatkan kecederaan kepada mangsa, juga berusia 18 tahun.
"Kedua-dua mangsa adalah pelajar lepasan SPM. Kepentingan awam perlu diambil kira iaitu kedua-dua mangsa adalah warga tempatan. Saya mohon jaminan tidak ditawarkan kerana tertuduh adalah warga asing.
"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah tidak bersetuju, saya mohon jumlah jaminan tinggi dengan syarat ketat dikenakan terhadap tertuduh iaitu dua warga tempatan sebagai penjamin," katanya.
Rayer juga memohon tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis setiap hari bagi memastikan kehadirannya ke mahkamah sepanjang perbicaraan kes.
Nadratun kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin warga tempatan terhadap tertuduh.
Beliau juga mengarahkan lesen memandu ditarik balik dan digantung sementara sehingga kes selesai selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Kes ditangguhkan sehingga 21 April untuk serahan dokumen.