BANGI - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenal pasti sebanyak 432 lokasi 'hotspot' kesesakan dan 122 lokasi 'blackspot' kemalangan di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, terdapat 25 lokasi 'hotspot' dan 46 lokasi 'blackspot' di lebuh raya utama, manakala 407 'hotspot' dan 76 'blackspot' melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan jalan-jalan lain.
Katanya, pemantauan berterusan dilakukan bagi memberikan bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah seperti kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan perhatian segera daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).
"Ini bertujuan memudahkan pergerakan aliran lalu lintas sekiranya berlaku kesesakan luar biasa.
"Tindakan penguatkuasaan juga akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang ingkar atau melakukan kesalahan yang boleh menyumbang kepada kemalangan," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Projek Kerjasama Strategik Untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan Dalam Sains Forensik Antara PDRM dan UKM, di sini pada Rabu.
Beliau turut mengumumkan pelaksanaan Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 yang akan dijalankan oleh PDRM melalui JSPT bermula 29 Mac hingga 3 April, selama enam hari.
Jelasnya, operasi ini bertujuan sebagai langkah awal pencegahan kemalangan jalan raya, termasuk melaksanakan kempen kesedaran keselamatan jalan raya bagi mengurangkan jumlah kemalangan serta kematian akibat kemalangan maut.
"PDRM menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang lalu lintas dan bersabar ketika memandu demi menjamin keselamatan jalan raya.
"Selain itu, pengguna jalan raya perlu memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan baik dengan menjalankan pemeriksaan fizikal kenderaan. Pemandu juga dinasihatkan mendapatkan rehat dan tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan," tambahnya.