Amma dan Akka ibarat keluarga kedua Adam

Iklan
Adam gembira dapat bertemu Amma yang menjaganya ketika berusia tiga bulan.

SHAH ALAM - Perkongsian seorang wanita mengenai hubungan akrab anak lelakinya dengan bekas pengasuh berbangsa India ketika berbuka puasa di Dataran Merdeka baru-baru ini telah mencuri perhatian pengguna media sosial.

Menerusi video tular yang dikongsi oleh Shaidatul Naqiyah Mohamad Abdullah, 26, di akaun TikTok miliknya, @shidaabdul_, kelihatan anaknya, Muhammad Adam Mikhael, 2, begitu teruja menyambut kehadiran bekas pengasuhnya yang dikenali sebagai Amma dan Akka untuk berbuka puasa bersama.

Iklan
Iklan

Dalam rakaman itu, pasangan Banupiriya, 30, dan suaminya, Gunaseelan, 30, duduk di atas tikar sambil menikmati juadah berbuka, malah turut melayan Adam seperti anak sendiri.

Menurut Shaidatul Naqiyah, dia telah lama mengenali pasangan tersebut yang menjaga Adam sejak bayi berusia tiga bulan sehingga enam bulan.

Iklan

"Selepas itu, saya menjaga Adam sendiri, tetapi hubungan kami tidak terputus. Apabila Adam hampir berusia dua tahun, kami bertemu semula, dan sejak itu dia kerap berjumpa serta bermalam di rumah mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya, suaminya mencadangkan mereka berbuka puasa di Dataran Merdeka, dan Amma turut memasak kari ayam kegemarannya sebagai hidangan berbuka.

Iklan

"Kami sangat seronok dapat berbuka bersama mereka, yang kami anggap sebagai keluarga kedua. Ini juga kali pertama Amma dan Akka menyertai aktiviti berbuka puasa di luar seperti ini, dan mereka sangat teruja dengan pengalaman tersebut," katanya.

Shaidatul Naqiyah tidak menyangka videonya menjadi tular kerana niatnya hanyalah untuk menunjukkan bahawa kasih sayang tidak mengenal batas kaum dan agama.

"Ada juga segelintir yang mempersoalkan kenapa saya tidak menghantar Adam kepada pengasuh Melayu. Saya mahu tunjukkan bahawa perbezaan kaum bukan penghalang untuk menjalin hubungan akrab," ujarnya.

Perkongsian ini mendapat pujian netizen yang menyifatkannya sebagai contoh harmoni dan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia.