Banjir Johor: Mangsa hilang harta benda, bantuan tambahan diperlukan

Iklan
SUHAIZAN

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri disaran menyalurkan bantuan tambahan kepada mangsa banjir yang mengalami kerugian besar selepas harta benda mereka musnah sepenuhnya akibat bencana itu minggu lalu.

Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, ramai mangsa banjir kehilangan hampir semua harta benda termasuk perabot, barangan elektrik dan kenderaan, dengan anggaran kerugian mencecah RM20,000 bagi setiap keluarga.

Iklan
Iklan

"Taman Tampoi Indah dan Taman Tampoi Utama dalam kawasan Parlimen Pulai antara yang paling teruk terjejas akibat banjir membabitkan ratusan penduduk.

"Mereka yang tinggal di taman ini tidak pernah berdepan isu banjir dan tidak bersedia apabila musibah ini berlaku. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan barangan berharga, termasuk kenderaan mereka.

Iklan

"Bantuan RM3,000 untuk ketua isi rumah (KIR) yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi itu bagus, tetapi tidak memadai bagi mereka yang mengalami kerugian kira-kira RM20,000. Seharusnya ada sumbangan tambahan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Pakatan Harapan Johor bersama media Johor di sini pada malam Isnin.

Iklan

Sebelum itu, Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor mengadakan lawatan dan memberi sumbangan kepada 15 ketua komuniti yang terjejas banjir di Taman Tampoi Indah 3.

Pada Sabtu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut Gelombang Kelima berjumlah lebih RM11.2 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, bantuan RM3,000 akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri kepada 3,749 KIR yang berdaftar di pusat pemindahan sementara di seluruh daerah yang terjejas banjir.

Tambah Suhaizan lagi, kebanyakan mangsa banjir tidak mengambil perlindungan insurans rumah dan kini terbeban dengan masalah kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Atas dasar simpati, perlu ada sumbangan istimewa kepada mangsa banjir yang mengalami kehilangan total. Kehidupan mereka berubah sekelip mata dan mereka amat terkesan akibat bencana alam ini.

"Soal jumlah sumbangan itu, biarlah kerajaan yang menentukan jumlah yang bersesuaian, tetapi bantuan RM3,000 itu tidak mencukupi. Anggaran kasar kerugian yang dialami adalah kira-kira RM20,000 bagi setiap keluarga,” ujarnya.

Banjir yang melanda negeri ini sejak Rabu lalu disifatkan penduduk terjejas sebagai antara yang terburuk pernah berlaku selepas bencana banjir besar pada 2006, 19 tahun lalu.

Bencana itu melibatkan beberapa daerah di Johor termasuk Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.