Akta Pengambilan Tanah jadikan pemilik sah seperti setinggan - Khalid

Iklan
Khalid Abdul Samad.

KUALA LUMPUR - Penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 dalam isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru menyebabkan pemilik sah tanah kini dianggap seperti setinggan.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendakwa tindakan itu mula dilaksanakan semasa pentadbiran Tan Sri Annuar Musa dan Tan Sri Shahidan Kassim sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, walaupun sebelum itu proses perbincangan secara persetujuan bersama telah dijalankan.

Iklan
Iklan

"Saya dari awal menolak penggunaan Akta Pengambilan Tanah ini dan telah membantahnya di Parlimen. Isu ini berpunca daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan malangnya diteruskan oleh Kerajaan Perpaduan hari ini.

"Semasa saya menjadi menteri, perkara ini tidak timbul kerana pemaju masih berbincang dengan pemilik dan ada yang bersetuju serta menandatangani perjanjian,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa tanah di kawasan Kampung Sungai Baru, Kampung Baru yang terlibat dengan pembangunan semula sepatutnya dinilai sebanyak RM3,000 bagi setiap kaki persegi

Khalid dalam pada itu turut mempersoalkan nilai pampasan tanah yang disifatkannya terlalu rendah dengan penilaian Jabatan Perkhidmatan Penilaian Harta (JPPH) sekitar RM450 sekaki persegi berbanding nilai pasaran sebenar yang pernah dipersetujui antara pemilik dan pemaju iaitu RM1,500 sekaki persegi.

Iklan

"Saya telah menyuarakan bantahan berkali-kali kepada Menteri Wilayah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Penilaian ini tidak wajar hanya berdasarkan JPPH yang ditakuti mempunyai agenda tersendiri.

"Nilai tanah sepatutnya mengikut pasaran semasa oleh penilai swasta bebas,” jelasnya.

Khalid turut mendakwa proses penilaian tanah dilakukan secara tidak adil kerana hanya melibatkan JPPH pada zaman kerajaan PN.

Katanya, penilaian tanah Kampung Sungai Baru ditetapkan hanya RM450 sekaki persegi, jauh lebih rendah berbanding penilaian JPPH untuk tanah bersebelahan iaitu kawasan tanah MAS yang ditetapkan RM1,000 sekaki persegi semasa era Pakatan Harapan (PH).

Khalid juga menjelaskan bahawa majoriti penduduk flat bersetuju dengan pembangunan semula kerana mereka mendapat pampasan dalam bentuk hartanah bernilai RM1,500 sekaki persegi.

"Masalah timbul apabila pemilik rumah teres yang mempunyai keluasan tanah empat kali ganda berbanding flat tidak bersetuju. Namun mereka hanya ditawarkan pampasan tunai berdasarkan RM450 sekaki persegi.

"Kalau ikut jumlah pemilik, memang ramai bersetuju. Tapi kalau ikut luas tanah, majoriti pemilik tidak bersetuju,” ujarnya.