Golongan bapak-bapak jadi 'tunggul' setia tunggu isteri membeli-belah

Iklan
Orang ramai membawa ahli keluarga masing- masing untuk membeli belah menjelang Aidilfitri ketika tinjauan pada cuti hujung minggu di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Foto Bernama

PETANG Sabtu lepas Merak Jalanan mencuci mata merayau-rayau di Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Bukan sebab mahu membeli-belah, cuma nak merasai mood Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Disebabkan ramai yang bercuti hujung minggu, sepanjang jalan TAR penuh meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk yang membawa keluarga masing-masing untuk membeli persiapan raya.

Iklan
Iklan

Namun, apa yang menarik perhatian Merak Jalanan adalah golongan bapak-bapak menjadi ‘tunggul’ menunggu isteri yang sedang sibuk membeli-belah.

Merak Jalanan dapat lihat golongan bapak-bapak ini duduk berjam-jam di sudut-sudut kedai atau duduk bersila di kaki lima pasar raya. Nasib baik ada telefon pintar, boleh juga mereka menghabiskan masa menunggu sambil melayari media sosial.

Iklan

Walaupun dalam kepenatan berpuasa, namun golongan suami ini tetap melayan kehendak isteri dan keluarga dengan penuh senyuman, walaupun nampak pasrah.

Bolehlah Merak Jalanan simpulkan bahawa golongan suami yang menjadi ‘tunggul’ ini sebenarnya lelaki yang hebat. Bukan sahaja mempunyai kesabaran yang luar biasa, tetapi mempunyai semangat kekeluargaan yang tinggi.

Iklan

Bak kata kawan Merak Jalanan yang pernah menjadi ‘tunggul’, dia tidak merungut bukan sebab si isteri mereka queen control. Tetapi keluarga melebihi segalanya untuk memastikan dapat menyambut raya dengan sempurna.

Kata kawan Merak Jalanan ini, walaupun kadang-kadang dia berfikir,"Bila nak balik, ni?” Tapi apabila memikirkan raya hanya setahun sekali, layankan sahaja kemahuan keluarga.

Bukan apa, tambahnya, yang penting apabila balik rumah nanti, si isteri puas hati dengan apa yang dibelinya. Sebab kalau si isteri masih tak puas hati, dia terpaksa keluar membeli-belah sekali lagi... dan terpaksa menjadi ‘tunggul’ buat sekian kali.