KOTA KINABALU - Beberapa lokasi sepanjang pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi boleh berlaku kemalangan sekiranya pengguna jalan raya tidak peka terhadap keadaan jalan.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, pihaknya tidak mempunyai laluan spesifik yang dikategorikan sebagai lokasi panas kemalangan, namun pengguna dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan yang sedang dalam kerja pembinaan.
"Ketika ini, kita sedang melaksanakan pembinaan LPB dari Ranau sehingga ke Pos Kawalan (Checkpoint) Semporna-Tawau, jadi memang akan ada banyak kerja pembinaan di kiri dan kanan bahu jalan yang sudah pasti akan menambah cabaran dalam menggunakan jalan tersebut.
"Begitu juga bagi laluan Kota Kinabalu ke Bulatan Berungis, yang mana projek WP6, WP7 dan WP8 sedang dalam proses pembinaan dan bahu jalan kiri serta kanan banyak dipasang penghadang had laju. Manakala kawasan Benoni, Papar, yang mana Pakej 4 juga masih dalam pembinaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Ramadan dan Perayaan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Sabah 2025 di Teluk Dumpil, Jalan Meruntum, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi had laju yang ditetapkan di kawasan pembinaan.
"Pengguna jalan raya perlu berhati-hati kerana mengikut pemerhatian saya, apabila kita memasang papan tanda had laju, tolong patuh kerana jika tidak dipatuhi, ini yang mungkin akan menimbulkan risiko kemalangan," katanya.
Shahelmey turut mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama kontraktor memastikan laluan trafik selesa untuk pengguna pada musim perayaan ini.
"Kita sering menerima aduan bahawa kesesakan jalan raya begitu tinggi sehingga menyebabkan pengguna terpaksa berada lama di atas jalan," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program tersebut, Shahelmey berkata, pemilihan lokasi itu sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang sering berlaku kemalangan.
"Untuk kawasan Kota Kinabalu, bagi tiga bulan pertama ini sahaja sudah direkodkan 1,500 kes kemalangan, termasuk 15 kes maut.
"Jadi, pada musim perayaan ini, kita adakan kempen untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan peka dengan keadaan jalan," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja pembaikan jalan yang terjejas akibat tanah runtuh di Kampung Binanon, Keningau, dijangka bermula selewat-lewatnya pada Selasa.
Shahelmey berkata, pihaknya sudah menerima makluman daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian itu, yang melibatkan jambatan hanyut serta jalan terputus akibat tanah runtuh.
"Jambatan yang hanyut sebelum ini menggunakan struktur kayu, namun dalam proses untuk dinaik taraf menggunakan I-beam. Bagaimanapun, ia perlu dipesan dari Kuala Lumpur dan dijangka sampai ke tapak pada April ini.
"Jadi, buat masa ini, kerja sementara dilakukan oleh pihak JKR dan kontraktornya untuk membolehkan laluan sementara digunakan.
"Selain itu, ada satu lagi kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut yang turut menjejaskan laluan. Pihak JKR akan meneliti langkah yang sesuai bagi menangani kejadian itu. Saya difahamkan kerja pembaikan akan bermula hari ini atau esok," katanya.