[VIDEO] 'Dah tak fikir pasal raya, rumah pun dah kosong'

Iklan

JOHOR BAHRU –"Dah tak fikir pasal raya, dalam rumah pun dah kosong... semua habis.”

Demikian luahan Siti Kamariah Ahmad, 40, yang kehilangan hampir segala-galanya selepas kediamannya di Kampung Sri Jaya, di sini, ditenggelami air pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika paras air meningkat, dia sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi dalam kekalutan, dia hampir terlupa kucing kesayangan yang masih di dalam sangkar.

"Nasib baik abang sempat balik selamatkan kucing. Barang lain semua habis rosak, terutama perabot dan barang elektrik. Kuih raya yang dah dibeli pun tak boleh makan.

Iklan

"Kerosakan memang sepenuhnya. Kalau baju boleh basuh, tapi barang lain hancur. Raya? Raya macam itu sajalah," katanya kepada Sinar Harian.

Barangan yang rosak ditempatkan luar kediaman penduduk sebelum dipungut pihak terlibat. Gambar kecil: Siti Kamariah, Senah, Nolizawati, Mohd Kamal

Turut berkongsi nasib sama, Senah Sirag, 76, yang menghidap sakit semput terpaksa melakukan kerja pembersihan bersama suaminya, Hisham Saian, 79, dan anak mereka walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Iklan

Ujarnya, buat masa ini, dia dan suami bermalam di hotel berdekatan yang dibayar oleh individu tidak dikenali.

"Sekarang pun menginap di hotel, itu pun ada hamba ALLAH yang bayarkan. Nak buat macam mana, rumah masih kotor.

"Kalau sihat tak apa, ini suami saya pun tak larat. Kami sekeluarga hanya mampu kemas perlahan-lahan,” katanya.

Bagi suri rumah, Nolizawati Mahat, 48, dia melakukan kerja sampingan dengan mengambil upah menjahit baju dan langsir, tetapi tahun ini tergerak hati untuk tidak ambil banyak tempahan.

Katanya, kesemua empat mesin jahit musnah ditenggelami banjir termasuk lebih 20 baju pelanggan dan juga langsir.

Pada masa sama, dia turut mengupah dua orang pekerja dan menyewa tong sampah besar 'roll on roll off' (RORO) untuk melakukan kerja pembersihan di kediamannya.

Keadaan dapur di kediaman Senah dan Hisham yang ditenggelami banjir.

"Saya sedih fikir raya, tadi pergi dewan pun bila orang sebut pasal raya saya dah tak boleh dengar. Memang sebak sangat sebab semua persiapan kami sudah musnah.

"Semua ini perkakas plastik cawan dan pinggan untuk tetamu berkunjung raya nanti, tapi tak boleh pakai sebab tenggelam air serta lumpur," luahnya dengan nada sebak.

Seorang lagi penduduk menganggap banjir yang melanda kediamannya itu sebagai satu keajaiban kerana perabot seperti sofa tidak terjejas.

Bagaimanapun, menurutnya, lima kenderaan melibatkan tiga motosikal dan dua kereta ditenggelami air serta mengalami kerosakan teruk.