KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 7,223 permohonan permit menjual mercun dan bunga api sempena perayaan Aidilfitri di seluruh negara sejak 1 Mac lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, rekod setakat 11 Mac itu mencatatkan 5,113 permit telah dikeluarkan.
Menurutnya, selain itu sebanyak 264 permohonan tidak lulus selain 1,846 dalam proses.
"Bagi tempoh itu juga, polis telah membuat 31 tangkapan dan rampasan untuk tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
"Tindakan tangkapan dan rampasan di bawah akta ini serta pembatalan permit menjual bunga api dan mercun dikenakan kepada mereka yang melanggar syarat permit," katanya pada Isnin.
Pada tahun lalu, media melaporkan hanya 45 item bunga api telah diluluskan untuk dijual sejak 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard yang dikeluarkan.
Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan PDRM itu, jualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi perayaan Aidilfitri/Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Krismas, Gawai dan Keamatan.
PDRM juga menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api di kawasan yang lapang supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.
Masyarakat juga diseru agar lebih bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan serta sentiasa berwaspada semasa bermain bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan.