Cari penyelesaian tanpa merumitkan - Penganalisis

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

BARU-BARU ini, media sosial dibanjiri dengan perdebatan hebat mengenai isu kononnya sebuah kuil, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di kawasan Jalan Masjid India, Kuala Lumpur akan dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan tempat itu akan dibina sebuah masjid.

Ada pihak yang mendakwa kuil tersebut itu dibina secara haram dan boleh dirobohkan oleh pemilik tanah.

Iklan
Iklan

Hakikatnya, usia Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman, menurut Datuk Seri M Saravanan, bekas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, adalah lebih daripada 100 tahun dan kuil itu menjadi tempat ibadat bagi orang beragama Hindu yang tinggal di sekitar kawasan tersebut terutamanya peniaga dan pengunjung ke kawasan itu untuk membeli belah.

Ada pihak yang mendakwa kuil ini terbina pada tahun 1895 pada zaman penjajahan British.

Iklan

Sejarah Tanah Melayu menunjukkan kuil-kuil Hindu dibina oleh orang India di tempat-tempat mereka bekerja dan tinggal, seperti di ladang-ladang getah dan kawasan municipal (bandaran) untuk menunaikan sembahyang pada zaman penjajahan British.

Sejarah juga menunjukkan Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves diasaskan oleh K Thamboosamy Pillay pada tahun 1891.

Iklan

Thamboosamy Pillay adalah seorang ahli peniaga timah tersohor yang pada pertama kalinya memperkenalkan kuasa elektrik di Tanah Melayu.

Jadi, tidak mustahil bagi Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman wujud sejak tahun 1895 iaitu 130 tahun.

Pada tahun 2006, apabila DBKL bercadang untuk meluaskan jalan raya di kawasan Masjid India kesan perkembangan dan pembangunan perbandaran, maka pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah dengan rela hati memberi laluan kepada permintaan DBKL.

Pengurusan kuil tersebut melaporkan bahawa melepaskan sebahagian tanah kuil di sebelah belakang kuil, pada asalnya menjadi rumah priest atau penjaga kuil untuk pembinaan jalan raya.

Jadi, jelas bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman wujud pada tahun 2006 dengan pengetahuan DBKL.

Selesainya urusan pembinaan jalan raya, kuil tersebut telah menambah baik pada tahun 2008 dengan perbelanjaan lebih RM120,000 yang ditanggung oleh Datuk Seri S Samy Vellu, Presiden MIC ketika itu dan sumbangan daripada orang ramai.

Pada tahun 2012, pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman buat permohonan rasmi untuk membeli lot tanah yang terletaknya kuil tersebut daripada pihak DBKL selaku pemilik asal tanah tersebut.

Namun, DBKL menjual tanah lot 328, Section 40, Jalan Bunus 6 Off Jalan Masjid India, tanah lot yang terletaknya kuil tersebut kepada sebuah syarikat swasta yang dilaporkan dalam media sebagai Syarikat Jakel, sebuah syarikat tekstil terbesar di Malaysia pada tahun 2014.

Urusan jual beli ini dilakukan bukan sahaja tanpa pengetahuan pihak pengurusan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman malah dijual apabila tanah tersebut masih ditakrifkan sebagai tanah perdagangan.

Pihak orang India dan dan pengurusan kuil terkejut apabila pihak yang membeli tanah tersebut iaitu Jakel membuat pengumuman baru-baru ini kononnya Masjid Madani akan dibina atas tanah yang terletaknya kuil tersebut.

Persoalannya, bagaimana pihak swasta membeli lot tanah daripada DBKL, lot tanah yang tidak dikosongkan (vacant lot)?

Huraian fakta menurut kronologi tersebut jelas menunjukkan Kuil Sri Dewi Pathrakaliamman bukan dibina secara haram seperti didakwa oleh setengah pihak.

Meskipun pihak pemilik tanah berhak untuk ambil tindakan terhadap penceroboh, tindakan terhadap Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman atas dakwaan kononnya tanah orang diceroboh oleh orang bukan pemilik tanah merupakan bukan tindakan yang bijak dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Kaum India pernah terdedah dengan isu kuil Hindu di roboh pada tahun 2007-an. Kuil-kuil yang dibina pada zaman sebelum merdeka diroboh atas alasan dibina secara haram.

Tindakan pihak berkuasa untuk meroboh kuil-kuil yang kononnya dibina secara haram sejak tahun 2007.

Rakyat Malaysia masih ingat terhadap gelombang Hindraf yang tercetus kerana kaum India terpengaruh dengan dakwaan kononnya kuil Hindu diroboh oleh kerajaan tanpa memperhitungkan sensitiviti agama orang India terhadap agama dan kuil.

Sehubungan ini, usaha kepimpinan MIC, parti yang mewakili sebahagian besar komuniti India telah bertindak bijak dalam mengurus isu tersebut.

Mereka serta komuniti India yakin pihak kerajaan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dengan bijak tanpa menyulitkan dan merumitkan kedua-dua pihak.

*M Periasamy ialah penganalisis sosiopolitik negara