Remaja lari sekatan jalan raya cedera dirempuh pacuan empat roda

Iklan
Tular video di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak nekad melawan arus menyeberangi pembahagi jalan ketika melarikan diri dalam sekatan jalan raya baru-baru ini.

SHAH ALAM - Gara-gara panik kerana tidak memiliki lesen memandu, seorang remaja nekad melarikan diri dari sekatan jalan raya sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda di Kilometer 7.3 Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Persiaran Sultan, Seksyen 14, pada 8 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian yang tular menerusi satu rakaman video itu berlaku ketika suspek berumur 17 tahun menunggang sebuah motosikal jenis Modenas Kriss.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya di lokasi terbabit sebelum mendapati motosikal yang ditunggang suspek membuat pusingan U secara berbahaya bagi mengelak sekatan tersebut.

"Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang membuat pemantauan cuba menahan motosikal terbabit yang melawan arus dengan memintanya berhenti, namun arahan itu tidak diendahkan.

Iklan

"Suspek bertindak menyeberangi jalan dengan menaiki pembahagi jalan secara berbahaya sebelum dilanggar sebuah Toyota Hilux," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, pelanggaran itu mengakibatkan suspek terjatuh dan mengalami kecederaan.

Penunggang motosikal terbabit kemudiannya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian pada 8 Mac itu.

Iklan

"Suspek kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut.

"Dia mengalami kecederaan patah paha kiri, patah bahu kiri serta bahu kanan dan masih ditahan di wad Hospital Shah Alam sehingga kini," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri daripada pihak polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan motosikal yang digunakan telah tamat tempoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Iqbal berkata, orang ramai diingatkan agar memastikan keselamatan di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan.

"Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor S Vermal di talian 011-39216101 atau Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 017-2836851," katanya.