SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya terdapat enam kes rompakan besar membabitkan barang kemas dan jongkong emas dengan kerugian mencecah RM13 juta dalam tempoh 10 bulan lalu.
Terbaharu pada Sabtu, sebuah kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dirompak seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan pistol.
Ironinya, kes samun ini seolah-olah semakin menjadi-jadi ketika harga emas dunia melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM470 segram pada 21 Mac lalu.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kes dilaporkan berlaku di dalam pasar raya dan kedai emas terkenal khususnya di Lembah Klang sekali gus mampu membahayakan nyawa pengunjung.
Apatah lagi penjenayah bertindak menggunakan modus operandi sama iaitu membawa senjata api dan parang bertujuan menakut-nakutkan pekerja dan orang ramai.
Berbekalkan pistol dan senjata berbahaya lain, perompak sebegini juga tidak gentar untuk melakukan jenayah di kawasan yang menjadi tumpuan ramai.
Pakar Kriminologi Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia, Dr Zalmizy Hussin berkata, harga emas yang melonjak tinggi kebelakangan ini turut menjadi salah satu faktor yang boleh mendorong peningkatan kes rompakan kedai emas.
Menurutnya, dalam konteks kriminologi, situasi tersebut selari dengan teori peluang penjenayah iaitu jenayah boleh berlaku apabila ada dorongan atau sasaran mudah dan kurangnya kawalan keselamatan.
"Apabila nilai emas meningkat, maka 'pulangan' rompakan juga bertambah. Ini menjadikan kedai emas sasaran yang sangat menarik bagi penjenayah yang ingin mengambil jalan singkat untuk mendapatkan keuntungan besar.
"Apa yang membimbangkan, kita dapat lihat peningkatan penggunaan senjata api dan senjata tajam dalam kes-kes rompakan baru-baru ini.
"Ini menunjukkan bahawa keberanian penjenayah semakin melampau, dan mereka sanggup menggunakan kekerasan untuk mencapai matlamat,” katanya.
Zalmizy menambah, antara langkah keselamatan paling utama yang perlu diberi perhatian ialah pemasangan sistem keselamatan lebih canggih seperti kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi dan sistem penggera yang terus terhubung dengan balai polis terdekat.
Ujarnya, teknologi keselamatan ketika ini bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan wajib bagi semua pemilik kedai emas.
"Reka bentuk kedai juga harus mengambil kira aspek keselamatan fizikal, termasuk penggunaan pintu berkunci automatik dan cermin kalis peluru bagi menghalang akses mudah kepada barang kemas,” kata beliau.