KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Air Selangor melaksanakan operasi bersepadu 'Ops Ceroboh' di sekitar Parlimen Segambut di sini.
DBKL memaklumkan, Ops Ceroboh pada Sabtu itu dilaksanakan bagi membanteras penempatan haram yang didiami warga asing di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam operasi diketuai oleh PDRM itu, pihak berkuasa mengesan sembilan unit struktur kediaman haram yang dibina menggunakan kayu dan bahan terbuang.
"Kediaman tersebut turut menggunakan sumber air semula jadi tanpa bekalan elektrik," maklum pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Ahad.
Menurut DBKL, semua struktur yang dikenal pasti telah dirobohkan mengikut peruntukan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Sementara itu, JIM telah menahan enam warga asing yang berada di lokasi untuk tindakan dokumentasi lanjut.
"Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan DBKL dan agensi berkaitan dalam memastikan kawasan bandar tidak diceroboh secara haram serta mengekalkan kesejahteraan penduduk setempat," kata DBKL lagi.
Kesemua sisa struktur yang telah dirobohkan dilupuskan selepas operasi berakhir.
DBKL turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap pencerobohan tanah serta penempatan haram di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.