MELAKA - Seorang pembantu jualan sebuah pasar raya maut dalam perjalanan pulang ke rumah selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang keluar dari simpang di Jalan Sungai Putat, di sini, pada malam Sabtu.
Dalam kejadian jam 11.10 malam itu mangsa Muhammad Syabil Hakimi Mohamad Subar, 27, menunggang motosikal Yamaha MT-25 maut tercampak di atas MPV Toyota Vellfire itu dan lebih memilukan nahas berlaku kira-kira 650 meter dari jarak rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Pasar raya Aeon Ayer Keroh menghala ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat.
Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, MPV yang dipandu warga emas lelaki berusia 61 tahun secara tiba-tiba keluar dari Simpang Restoran Tomyam Klasik menuju ke arah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
"Bagaimanapun motosikal mangsa yang sedang bergerak lurus tidak dapat menggelak lalu melanggar kenderaan terbabit.
"Akibat pelanggaran itu mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka sebelum dituntut waris keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Ujarnya, pemandu warga emas itu yang merupakan pesara tidak mengalami sebarang kecederaan dan Pol 61 telah di keluarkan bagi mengetahui punca kematian mangsa.
"Punca kematian masih menunggu laporan bedah siasat dan siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.