KEMAMAN – Lebih 1,000 pelita raya menerangi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing dari malam tadi hingga malam raya sebagai sambutan kepulangan perantau ke Terengganu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, program Peliter@Perasing dianjurkan khas untuk anak Terengganu yang tidak berkesempatan menikmati kemeriahan Peliter Raya 2025 sebelum ini.
"Perasing dipilih kerana lokasinya luas dan strategik, selain menjadi pintu masuk utama ke negeri ini dari arah Pahang.
"Oleh itu, perantau yang pulang bercuti digalakkan singgah di sini untuk berehat sambil menikmati suasana raya
"Tahun depan, kita juga akan buat di Besut, sempadan Kelantan-Terengganu," katanya ketika merasmikan program itu, di sini malam Jumaat.
Program ini dianjurkan oleh Tourism Terengganu dengan kerjasama UPEN Terengganu, LPT2, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Primula Beach Hotel serta pengusaha R&R Perasing.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Mohd Fadhli Jusoh dan Yang Dipertua (YDP) Kemaman, Mohd Fadli Yusof Zakaria.
Razali memaklumkan bahawa Tourism Terengganu akan mengagihkan produk tradisional kepada pengguna lebuh raya di R&R Perasing menjelang penghujung Ramadan.
"R&R Perasing bakal menjadi lokasi persinggahan utama, bukan sekadar tempat rehat, tetapi juga pusat memperkenalkan budaya dan makanan tradisional Terengganu.
"Saya harap semua pihak dapat membantu mempromosikan program ini supaya ia menjadi daya tarikan dan produk pelancongan bulan Ramadan," ujarnya.
Sementara itu, Tun Ahmad Faisal menyifatkan program Peliter@Perasing sebagai usaha memperkenalkan R&R Perasing sebagai ‘pintu masuk’ ke Terengganu.
Katanya, Perasing berpotensi dibangunkan sebagai lokasi rekreasi dan pelancongan kerana kawasannya luas dan mempunyai kemudahan lengkap.
"Dulu R&R ini agak suram kerana tiada stesen minyak, tetapi kini ia semakin meriah dengan semua lot gerai hampir penuh.
"Persepsi negatif terhadap tempat ini juga semakin pudar. Sejak diperkenalkan pada 2017, R&R Perasing semakin dikenali ramai," katanya.