Isu pindah kuil perlu ditangani secara harmoni, hak pemilik tanah wajib dihormati - PKPIM

Iklan
Muhammad Dzul Aiman Zulkefly

SHAH ALAM - Isu pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman perlu diselesaikan secara harmoni dengan mengambil kira hak pemilik tanah dan keperluan penganut agama terbabit untuk beribadat di lokasi yang lebih sesuai.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly menyeru semua pihak untuk kekal tenang dan memberi ruang kepada penyelesaian harmoni tanpa mencetuskan ketegangan antara kaum serta agama di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Prinsip keadilan mesti ditegakkan dalam isu ini. Hak pemilik tanah perlu dihormati, selari dengan keperluan komuniti penganut agama tersebut untuk beribadat di lokasi yang lebih sesuai.

"Kami percaya penyelesaian yang berteraskan rundingan, sikap saling menghormati, dan pematuhan kepada undang-undang adalah langkah terbaik ke arah kesejahteraan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Pada Khamis, proses perbincangan mengenai pemindahan kuil berkenaan berjalan dengan harmoni di antara pihak pengurusan, syarikat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, DBKL berperanan menjadi pemudah cara dalam memastikan urusan perpindahan itu yang terletak di atas tanah swasta ke lokasi baharu dapat dilaksanakan dengan baik.

Iklan

Terdahulu, Jakel Trading memaklumkan telah memperoleh Arahan Pembangunan (DO) dan Kelulusan Pelan Bangunan daripada DBKL serta memberi tempoh 30 hari kepada jawatankuasa kuil untuk mengosongkan tapak bagi memulakan projek dalam masa dua bulan.

Jakel juga menjelaskan bahawa majlis pecah tanah pada 27 Mac, yang dihadiri oleh Perdana Menteri hanyalah acara simbolik, manakala pembinaan sebenar belum dimulakan kerana masih menunggu persetujuan mengenai pemindahan kuil tersebut.

Mengulas lanjut, Muhammad Dzul Aiman menyeru semua pihak, termasuk pemimpin masyarakat dan pengguna media sosial, agar mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan atau memperbesar jurang perbezaan antara kaum.

"Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia perlu sentiasa mencari titik persefahaman dalam menyelesaikan isu sensitif seperti ini.

"PKPIM yakin bahawa pendekatan berasaskan dialog dan sikap keterbukaan akan membawa kepada penyelesaian yang adil untuk semua pihak,” ujarnya.

Tambahnya lagi, masyarakat perlu menjadi suara yang rasional dan progresif dalam menangani isu ini dengan mengutamakan fakta serta mengelakkan sebarang prasangka.

"Kita harus mendahulukan fakta, mengelakkan prasangka, serta berperanan sebagai pemangkin perpaduan dan keharmonian dalam negara.

"PKPIM menyeru agar isu ini diselesaikan dengan penuh kebijaksanaan dalam semangat perpaduan nasional dan kesefahaman yang telah lama menjadi asas kestabilan negara,” katanya.