TAPAH - Barisan Nasional (BN) yakin akan terus mendapat kepercayaan pengundi dalam kalangan masyarakat Orang Asli pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, wakil rakyat BN di DUN Ayer Kuning tidak pernah melupakan masyarakat Orang Asli sejak dahulu lagi.
Beliau turut yakin bahawa wakil rakyat baharu BN akan terus memberikan perhatian kepada masyarakat Orang Asli
"Jadi, sebab itu kita harap mereka akan terus memberi sokongan kepada calon BN daripada Kerajaan Perpaduan, supaya kita akan terus dapat berbuat kebajikan dan memastikan kesinambungan usaha ini," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asal Negeri Perak di Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Batang Padang dan Muallim, di sini pada Sabtu.
Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed dan Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Norihan Jalal.
Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perjumpaan dengan tok-tok batin dalam majlis-majlis tertentu termasuk ketika Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri.
"Ramai tok batin datang bertemu kita sama ada di Stadium Indera Mulia (lokasi Hari Bertemu Pelanggan) atau di daerah masing-masing untuk mengemukakan pandangan, rintihan dan isu-isu mereka.
"Sekalipun tidak dapat menyelesaikan semua isu, kita akan berusaha menanganinya secara berperingkat," ujarnya.
Untuk rekod jumlah pengundi dalam kalangan Orang Asli di kerusi DUN Ayer Kuning seramai 2,156 orang.